ARKIB : 27/11/1999
BAGI Brunei dan Sarawak, mereka
punya kelebihan untuk melangkah ke perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia
edisi ke-34, apabila turun beraksi pada separuh akhir kedua, malam ini, lapor
JOHARI SHAWAL.
Tetapi bagi Negeri Sembilan dan
naib juara musim lalu Terengganu, aksi mereka adalah penentuan hidup mati.
Ramai yang bersetuju, Brunei
bakal mudah menempah tiket ke akhir 4 Disember depan selepas beroleh bekalan
cukup selesa dengan kemenangan bergaya 3-0 di tempat sendiri pada separuh akhir
pertama, Ahad lalu.
Aksi mereka di Stadium Tuanku
Abdul Rahman, Paroi malam ini, sekadar tidak lebih daripada membawa satu
harapan - mencatat sekurang-kurangnya seri untuk skuad negara kesultanan itu
mencatat sejarah layak ke akhir Piala Malaysia buat pertama kali.
Pencapaian terbaik Brunei dalam
kancah pertandingan paling berprestij ini ialah pada 1997 iaitu di peringkat
separuh akhir.
Sarawak turut dikatakan akan
menyusul jejak langkah Brunei. Biarpun tidak memiliki bekalan gol seperti
Brunei, Sarawak punya 'senjata' sendiri.
Sorakan penyokong tentu amat
diharapkan Bujang Senang untuk mereka juga mencipta sejarah sendiri.
Begitu pun, Sarawak perlu ingat
kerana Terengganu masih punya ruang kesempatan untuk memperbetulkan keputusan
itu.
Kelebihan tempat sendiri tidak
mencukupi bagi Kenyalang kerana si Penyu memiliki rekod cemerlang di tempat
lawan.
Seri 1-1 pada separuh akhir
pertama di Kuala Terengganu Selasa lalu, sekadar melebarkan lagi rekod tanpa
menang dan tanpa kalah kedua-dua pasukan musim ini.
Semaklah rekod pertemuan
Terengganu-Sarawak dalam Liga Perdana musim ini, yang jelas tidak memihak
kepada mana-mana pasukan. Mereka seri 1-1 dalam kedua-dua pertemuan liga di
Kuala Terengganu dan di Kuching.
Dan tidak mustahil, pasukan
Yunus Alif mampu mengulangi keputusan itu di Stadium Sarawak malam ini untuk
memaksa penentuan sepakan penalti - keadaan yang pasti tidak diingini Jalil
Ramli.
Lain pula dengan Negeri
Sembilan. Skuad Irfan Bakti bermain di tempat sendiri di depan penyokong
sendiri tetapi si Rusa harus mencari tiga gol untuk menyamai agregat - dan satu
gol lagi untuk melangkah ke akhir.
Kesilapan di Bandar Seri
Begawan Ahad lalu jelas satu tugas maha sukar bagi kesebelasan Negeri Sembilan
malam ini.
Skuad ini dibarisi
bintang-bintang kebangsaan tetapi bagai dinafikan sendiri oleh Irfan hingga
pada satu ketika, Rusa beraksi tanpa bintang utama ini - mungkin faktor mereka
kecundang mudah di tempat lawan.
Mengikut rekod pertemuan Negeri
Sembilan-Brunei dalam liga musim ini pula, kelebihan memihak kepada anak buah
Michael Jones yang menang 3-2 dalam kedua-dua perlawanan.
Namun, apa sahaja boleh berlaku
dalam bola sepak. Tiga atau empat gol mampu disumbat sambil gawang sendiri pula
tidak dibolosi.
Negeri Sembilan mungkin ada
strategi luar jangka mereka yang bakal dipraktikkan malam ini. Sama-sama kita
nantikan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4ShnupcZm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan