Rabu, 14 Disember 2016

Tanda hormat pasukan Penyu

TAHUN 2000
ARKIB : 01/01/2000
PENGURUSAN Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Abdul Hadi Awang selepas Hari Raya ini.

Setiausaha PBSNT Abdullah Salleh berkata kunjungan itu bertujuan untuk beramah mesra di samping memberi taklimat dan gambaran jelas mengenai persatuan itu kepada Abdul Hadi.

''Tarikh sebenar perjumpaan itu belum dipastikan kerana kita sedang mencari masa yang sesuai untuk mengunjungi Abdul Hadi,'' katanya di Kuala Terengganu semalam.

Abdullah berkata walaupun kerajaan negeri sekarang telah bertukar, ia tidak menjejaskan perancangan persatuan untuk membangunkan bola sepak di Terengganu.

Beliau berkata PBSNT juga ingin mendapat reaksi dan maklumat balas kerajaan negeri yang dipercayai akan terus memberi sokongan kepada persatuan.

Abdullah berkata Presiden PBSNT Datuk Che Mat Jusoh, yang meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri baru-baru ini, akan terus menerajui PBSNT dan menjadi Pengurus Pasukan Terengganu musim depan.

''Tidak ada sebab Che Mat perlu meletakkan jawatan sebagai presiden dan juga pengurus pasukan Liga Perdana Terengganu setelah meletakkan jawatan sebagai SUK,'' katanya. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4SnuxUnVs © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan