Khamis, 8 Disember 2016

Terengganu pinjam dua pemain Kedah

ARKIB : 22/09/1999
DUA pemain Kedah dijangka membantu Terengganu menghadapi kempen pertandingan Piala Malaysia musim ini.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Abdullah Salleh berkata pemain itu ialah Ahmad Zalghafani Manaf dan pemain Olimpik, Rafdi Rashid.

''Khidmat kedua-dua pemain itu berdasarkan pinjaman yang dibenarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),'' katanya selepas mesyuarat pengurusan di Wisma PBSNT, semalam.

Abdullah berkata kedua-dua pemain penyerang itu akan tiba di Kuala Terengganu, hari ini.

Terengganu memang memerlukan pemain penyerang memandangkan beberapa penyerangnya mengalami kecederaan atau prestasi yang menurun.

Terengganu juga akan menggunakan khidmat pemain Olimpik kelahiran Terengganu, Faziallah Mamat bagi memantapkan pasukan.

Abdullah berkata pengurusan Terengganu berpuas hati dengan kebolehan pemain berasal dari Marang itu.

Beliau berkata kehadiran ketiga-tiga pemain itu tidak akan menjejaskan peluang pemain-pemain sedia ada.

Katanya pasukan Terengganu telah memulakan latihan semalam setelah berehat dua hari di Pulau Perhentian.

Terengganu akan bertemu Negeri Sembilan dalam perlawanan pembuka tirai di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4SGR4zpyi © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan