ARKIB : 01/06/1999
KEGAGALAN pemain Terengganu
memanfaatkan banyak peluang untuk mencipta jaringan dalam beberapa perlawanan
Liga Malaysia musim ini telah menghantui pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh.
Beliau yang membayangkan rasa
terkilan dengan masalah itu turut mengakui skuad Penyu benar-benar kehausan
seorang penyerang yang mampu memikul tugas sebagai penyudah untuk mengharungi
beberapa siri perlawanan akan datang.
Menurutnya, berdasarkan
perlawanan-perlawanan lalu, Terengganu mampu menunjukkan permainan cukup memuaskan
dengan semua posisi pemain beraksi dengan baik di samping banyak peluang
menjaringkan gol diperoleh.
Malangnya jelas beliau,
kebanyakan peluang di depan gol lawan dipersiakan begitu sahaja akhirnya
Terengganu hanya mampu melihat kemenangan berpihak kepada lawan.
Che Mat yang juga Presiden
Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bagaimanapun mengharapkan para
peminat Terengganu supaya memberi mereka masa untuk membuktikan kejayaan
menjadi milik skuad Penyu.
''Kita meletakkan sandaran
kepada beberapa pemain muda di barisan serangan seperti Sapian Wahid, Hairuddin
Omar dan Mohd. Nafuzi Mohd. Zain untuk bertindak sebagai striker.
''Buat masa ini mereka masih
kurang menunjukkan aksi seperti yang diharapkan tetapi berilah mereka masa
untuk membuktikannya kerana saya percaya kita masih ada peluang.
''Malah kita juga akan terus
berusaha untuk menggilap pemain-pemain ini untuk menjadi penjaring gol,''
ujarnya di Kuala Terengganu, kelmarin.
Begitu juga dengan kekalahan
Terengganu 1-2 kepada Perak di Kuala Terengganu tempoh hari, Che Mat berkata,
keputusan itu turut dipengaruhi masalah serupa.
Mengenai nasib ketua pasukan,
Anuar Jusoh yang dibuang padang pada perlawanan dengan juara Piala Malaysia
musim lalu, Perak Sabtu lalu itu Che Mat menjelaskan, pemain itu terpaksa
digantung dua perlawanan seterusnya.
Perlawanan itu ialah antara
Terengganu menentang Kelantan dalam Piala FA di Kota Bharu, Selasa ini (malam
ini), manakala ketika bertemu Sarawak pada Liga Perdana Satu di Kuala
Terengganu pada 6 Jun ini.
Beliau juga mengakui bahawa
ketiadaan Anuar pada perlawanan itu nanti sudah tentu dirasai memandangkan
pemain itu merupakan tonggak skuad Penyu.
Namun jelasnya, beberapa pemain
lain yang akan turun beraksi seperti Zulfakri dan Badrul Afzan Razali
sekurang-kurangnya mampu menjadi pengubat ketiadaan Anuar.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Rn1cJAnu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan