Jumaat, 2 Disember 2016

Nasihat Rahman buat pasukan Penyu meningkat

ARKIB : 03/05/1999
JURULATIH kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim memainkan peranan penting meningkatkan secara mendadak pasukan Liga Perdana Terengganu sejak kebelakangan ini.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Abdullah Salleh berkata, bekas jurulatih Terengganu itu sentiasa memberikan nasihat dan kritikan membina kepada pasukan.

''Jurulatih Yunus Alif mengambil kira teguran dan kritikan membina daripada Abdul Rahman setiap kali perlawanan,'' katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Terengganu sekarang menduduki tangga kelima setelah bermain 10 kali dengan 13 mata hasil tiga kemenangan mutlak, empat seri dan tiga kalah.

Pasukan itu telah dikecam begitu hebat oleh para peminat dan penyokong bola sepak di negeri ini kerana prestasinya menurun dan mengalami kekalahan di pusingan awal liga.

Abdullah berkata, Yunus juga telah mengenal pasti kelemahan dan mengatasinya dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, begitu juga pemain-pemain yang sering berada di bangku simpanan telah berusaha untuk memperbaiki kelemahan mereka.

Menurut beliau, dua tonggak utama, Rosli Omar dan Abd Ghani Malik akan memantapkan lagi pasukan apabila Terengganu bertemu Pulau Pinang dalam kejohanan Piala FA, di Pulau Pinang, Selasa ini.

Beliau berkata, Rosli telah selesai menjalani satu penggantungan, manakala Abd Ghani pula sembuh daripada kecederaan.

Abdullah berkata, Terengganu akan menurunkan barisan utama bagi memastikan matlamat ke pertandingan suku akhir tercapai setelah memenangi pusingan pertama 4-1.

Beliau berkata, Terengganu tidak memandang mudah perlawanan Piala FA pusingan kedua kerana pasukan lawan tentu mempunyai keazaman yang tinggi untuk menebus kekecewaan. _ Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RgPGEvow © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan