Selasa, 6 Disember 2016

Penyu - Yeop berentap sekali lagi

RKIB : 08/07/1999
PENGERUSI Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Redzuan Sheikh Ahmad menggaulkan guli yang bertanda nama pasukan pada majlis undian play-off bola sepak Piala Malaysia di Kelana Jaya, semalam.

JUARA dan naib juara musim lalu, Perak dan Terengganu akan berentap sekali lagi untuk merebut dua tempat ke Piala Malaysia dari kumpulan B pertandingan play-off, bulan depan.

Undian di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, semalam turut meletakkan kedua-dua pasukan Perdana Satu ini bersama-sama Johor FC dan Melaka.

Manakala Kelantan, Perlis, Kedah dan Brunei dari kumpulan A play-off bakal bersaing untuk dua lagi tempat ke Piala Malaysia.

Dua pasukan teratas dari setiap kumpulan play-off ini, akan mara ke Piala Malaysia yang sudah pun memiliki enam pasukan teratas Perdana Satu dan dua teratas Perdana Dua.

Juara Perdana Satu, Pahang mengetuai senarai yang layak menerusi pusingan liga, bulan lalu, diikuti oleh Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sabah, Kuala Lumpur dan Sarawak di samping johan Perdana Dua, Johor serta Selangor.

Berbanding kumpulan A, undian itu ternyata memberikan Terengganu laluan yang mencabar apatah lagi akan turun dengan reputasi selaku naib juara Piala FA, Ahad lalu.

Perak sudah pasti mahu menebus maruah yang tercalar ekoran prestasi hambar sepanjang Perdana Satu musim ini apabila sekadar menduduki tangga kesembilan liga.

Hadir Johor FC turut membuatkan kumpulan B mampu dianggap 'kumpulan maut' jika kemampuannya menggugat Johor dan Selangor dalam persaingan Perdana Dua lalu, diambil kira.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Paul Mony Samuel berkata, play-off ke Piala Malaysia masih mengekalkan sepakan penalti sebagai keputusan muktamad bagi perlawanan yang berkesudahan seri selepas 90 minit masa sebenar.

Sebagaimana Liga Perdana lalu, pemenang penalti perlawanan seri akan beroleh dua mata dan pasukan yang kalah, cuma mendapat satu mata.

''Cuma pemain yang memiliki kad merah ketika perlawanan terakhir liga, dilarang daripada bermain pada play-off ini selama satu perlawanan.

''Bagaimanapun, play-off dianggap satu pertandingan baru sekali gus menghapuskan kiraan kad kuning yang dimiliki pemain ketika liga,'' kata Paul.

Menurutnya, dua pemain yang dikenakan penggantungan satu perlawanan play-off iaitu V. Yogeswaran dari Perlis dan Aqli Ahmad Tabarani dari Kelantan.

Sementara itu, FAM turut membenarkan permohonan Perak yang meminta perlawanan pertamanya dilangsungkan di gelanggang lawan kerana Stadium Perak tidak dapat digunakan pada 21 Ogos ini.

Perak yang mulanya dijadualkan menentang Melaka di Stadium Perak, Ipoh, akan beralih gelanggang di Stadium Kubu bagi perlawanan pertamanya.

Berikut ialah jadual perlawanan pusingan pertama bagi perlawanan penentuan ke Piala Malaysia
21 Ogos: Kelantan lwn Perlis; Kedah lwn Brunei; Melaka lwn Perak; Terengganu lwn Johor FC

24 Ogos: Brunei lwn Kelantan; Perlis lwn Kedah; Johor FC lwn Perak; Melaka lwn Terengganu.

31 Ogos: Kelantan lwn Kedah; Perlis lwn Brunei; Perak lwn Terengganu; Melaka lwn Johor FC.

(Tuan rumah di sebut dahulu)

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S3GwBRPC © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan