Selasa, 13 Disember 2016

Misi Terengganu, Negeri Sembilan hidup atau mati

ARKIB : 27/11/1999
BAGI Brunei dan Sarawak, mereka punya kelebihan untuk melangkah ke perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia edisi ke-34, apabila turun beraksi pada separuh akhir kedua, malam ini, lapor JOHARI SHAWAL.

Tetapi bagi Negeri Sembilan dan naib juara musim lalu Terengganu, aksi mereka adalah penentuan hidup mati.

Ramai yang bersetuju, Brunei bakal mudah menempah tiket ke akhir 4 Disember depan selepas beroleh bekalan cukup selesa dengan kemenangan bergaya 3-0 di tempat sendiri pada separuh akhir pertama, Ahad lalu.

Aksi mereka di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini, sekadar tidak lebih daripada membawa satu harapan - mencatat sekurang-kurangnya seri untuk skuad negara kesultanan itu mencatat sejarah layak ke akhir Piala Malaysia buat pertama kali.

Pencapaian terbaik Brunei dalam kancah pertandingan paling berprestij ini ialah pada 1997 iaitu di peringkat separuh akhir.

Sarawak turut dikatakan akan menyusul jejak langkah Brunei. Biarpun tidak memiliki bekalan gol seperti Brunei, Sarawak punya 'senjata' sendiri.

Sorakan penyokong tentu amat diharapkan Bujang Senang untuk mereka juga mencipta sejarah sendiri.

Begitu pun, Sarawak perlu ingat kerana Terengganu masih punya ruang kesempatan untuk memperbetulkan keputusan itu.

Kelebihan tempat sendiri tidak mencukupi bagi Kenyalang kerana si Penyu memiliki rekod cemerlang di tempat lawan.

Seri 1-1 pada separuh akhir pertama di Kuala Terengganu Selasa lalu, sekadar melebarkan lagi rekod tanpa menang dan tanpa kalah kedua-dua pasukan musim ini.

Semaklah rekod pertemuan Terengganu-Sarawak dalam Liga Perdana musim ini, yang jelas tidak memihak kepada mana-mana pasukan. Mereka seri 1-1 dalam kedua-dua pertemuan liga di Kuala Terengganu dan di Kuching.

Dan tidak mustahil, pasukan Yunus Alif mampu mengulangi keputusan itu di Stadium Sarawak malam ini untuk memaksa penentuan sepakan penalti - keadaan yang pasti tidak diingini Jalil Ramli.

Lain pula dengan Negeri Sembilan. Skuad Irfan Bakti bermain di tempat sendiri di depan penyokong sendiri tetapi si Rusa harus mencari tiga gol untuk menyamai agregat - dan satu gol lagi untuk melangkah ke akhir.

Kesilapan di Bandar Seri Begawan Ahad lalu jelas satu tugas maha sukar bagi kesebelasan Negeri Sembilan malam ini.

Skuad ini dibarisi bintang-bintang kebangsaan tetapi bagai dinafikan sendiri oleh Irfan hingga pada satu ketika, Rusa beraksi tanpa bintang utama ini - mungkin faktor mereka kecundang mudah di tempat lawan.

Mengikut rekod pertemuan Negeri Sembilan-Brunei dalam liga musim ini pula, kelebihan memihak kepada anak buah Michael Jones yang menang 3-2 dalam kedua-dua perlawanan.

Namun, apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak. Tiga atau empat gol mampu disumbat sambil gawang sendiri pula tidak dibolosi.

Negeri Sembilan mungkin ada strategi luar jangka mereka yang bakal dipraktikkan malam ini. Sama-sama kita nantikan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4ShnupcZm © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan