ARKIB : 22/06/1999
TERENGGANU kini menumpukan
perhatian kepada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang Negeri
Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu ini.
Setiausaha Persatuan Bola Sepak
Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh berkata, perjuangan Terengganu dalam
pertandingan Piala FA masih belum selesai.
Katanya, kedatangan Terengganu
dengan berbekalkan kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan tidak boleh dianggap
mudah kerana pertarungan itu akan diadakan di tempat lawan.
Ketika ini kita belum
memikirkan persiapan menghadapi pertandingan kelayakan Piala Malaysia, kata
Abdullah.
''Terengganu akan bermain
habis-habisan dalam perlawanan itu untuk mengembalikan semula maruah Terengganu
yang gagal memasuki perlawanan Piala Malaysia secara automatik,'' katanya.
Terengganu menduduki tempat
kelapan dengan 23 mata dalam Liga Perdana Satu.
Menurutnya, ini kali pertama
Terengganu berjaya memasuki pertandingan separuh akhir Piala FA.
Beliau berkata, kesemua pemain
Terengganu termasuk penyerang Hairuddin Omar yang telah selesai menjalani
penggantungan kerana menerima kad merah akan diturunkan.
Mengenai kegagalan Terengganu
menempah tiket ke pertandingan Piala Malaysia, Abdullah berkata Terengganu
telah memberikan persembahan terbaik tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.
Beliau berkata, pertandingan
Liga Perdana Satu banyak mengajar Terengganu menjadi sebuah pasukan yang baik
dan mantap bagi menghadapi pertandingan kelayakan nanti.
''Sepatutnya Terengganu tidak
perlu bermain dalam pertandingan kelayakan jika tidak banyak melakukan
kesilapan dan cuai dalam liga,'' katanya.
Abdullah bagaimanapun yakin
Terengganu mampu melepasi halangan kelayakan dan menempah tiket ke pertandingan
Piala Malaysia. - Bernama.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4RwwwbeRE
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan