Khamis, 15 Disember 2016

Azman serah nasib pada PBSNT

ARKIB : 23/01/2000
PEMAIN pertahanan Terengganu Azman Ismail menyerahkan nasibnya kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dalam senarai pasukan Terengganu pada liga M musim ini.

Pemain yang berasal dari Kelantan itu kini masih dibelenggu oleh masalah kecederaan lututnya yang belum pulih lagi setelah dibedah sebelum hari raya lepas.

Azman berkata dia telah dinasihatkan oleh doktor supaya berehat selama empat bulan sebelum keadaannya pulih dan dibenarkan bermain semula.

"Saya menyerahkan nasib kepada PBSNT sama ada mahu menerima lagi saya atau tidak," katanya semalam.

Azman yang merupakan pemain pertahanan dalam pasukan Terengganu mula mewakili negeri ini dalam pertandingan Liga Perdana sejak empat tahun lepas. Bagaimanapun dia terpaksa direhatkan di pertengahan Piala Malaysia tahun lepas setelah mengalami kecederaan di lututnya.

Azman berkata beliau terpaksa mencari pasukan baru sekiranya Terengganu tidak lagi berminat menggunakan tenaganya pada musim ini.

Jurulatih, Yunus Alif ketika ditanya mengenai perkara itu berkata kedudukan Azman itu masih belum diputuskan dan perkembangan selanjutnya akan diketahui dalam sehari dua lagi.

"Kita sedang melihat prestasi Azman sama ada dia boleh bermain atau sebaliknya," katanya.

Yunus berkata Azman telah datang menemuinya semalam dan menceritakan tentang perkara itu serta masalah yang dihadapi.

Beliau berkata Terengganu amat memerlukan tenaga Azman kerana pemain itu merupakan pemain yang kental tambahan pula Terengganu kehilangan Syamsol Saad yang berhijrah ke Perak.

Menurut beliau Terengganu masih lagi mencari pemain untuk memantapkan pasukan terutamanya pemain serangan dan tengah. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4StLuZfhI © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan