ARKIB : 02/05/1999
PENGURUS Terengganu, Datuk Che
Mat Jusoh melahirkan rasa lega dan amat berpuas hati dengan kebangkitan semula
skuad Penyu itu berikutan kejayaan memenangi beberapa perlawanan terakhir ini
termasuk menewaskan Pulau Pinang di tempat lawan Selasa lalu.
Beliau yang juga Presiden
Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) itu turut berasa bangga atas
kesungguhan, semangat serta komitmen pemain yang kian meningkat untuk
meneruskan perjuangan Liga Malaysia musim ini.
Menurutnya, sungguhpun tidak
berkesempatan menyaksikan perlawanan Terengganu menentang Pulau Pinang di
Stadium Bandaraya tempoh hari yang berkesudahan skuad Penyu menang penalti 8-7,
beliau dimaklumkan, para pemain Terengganu beraksi dengan baik dan penuh
persefahaman.
Malah buat Che Mat, kejayaan
Terengganu ketika ini sekurang-kurangnya dapat menjadi pengubat kepada
keresahan sekali gus menebus semula keyakinan para peminat terhadap skuad itu
ekoran pencapaian yang kurang memberangsangkan sebelum ini.
Namun begitu jelasnya, kejayaan
yang diperoleh pada masa ini tidak semestinya skuad Penyu itu boleh mendabik
dada kerana bagi beliau 'perjuangan masih belum selesai'.
Che Mat seterusnya berharap
prestasi pemain skuad bimbingan jurulatih Yunus Alif itu dapat dipertingkatkan
lagi bagi mengembalikan kegemilangan pasukan itu mengharungi liga musim ini.
''Walau bagaimanapun kelemahan
masih ada dan saya meminta jurulatih (Yunus) berusaha memperbaikinya selain
peranan para pemain sendiri untuk menutup kelemahan yang ada.
''Seperti perlawanan dengan
Pulau Pinang malam tadi para pemain Terengganu bermain dengan baik serta
bersemangat biarpun sesekali masih ada sedikit kelemahan,'' katanya di Kuala
Terengganu.
Menyentuh persediaan skuad
Terengganu melayani Pulau Pinang sekali lagi di Kuala Terengganu malam ini Che
Mat meletakkan harapan 50-50 pada setiap kali pertarungan kedua-dua pasukan.
Ini kerana jelasnya, Terengganu
tidak pernah memandang rendah malah tetap menghormati Pulau Pinang lebih-lebih
lagi skuad Harimau Kumbang itu masih unggul di takhta teratas Liga Perdana Satu
ketika ini.
''Kita tahu Pulau Pinang
bukanlah sebuah pasukan yang senang untuk dikalahkan tetapi Terengganu juga
tetap memberikan saingannya nanti,'' tambahnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0502&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RgIsqs9n
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan