Jumaat, 9 Disember 2016

Terengganu berjaya tebus kekalahan

ARKIB : 03/10/1999
TERENGGANU akhirnya menebus kekalahannya pada perlawanan akhir musim lalu apabila menewaskan Perak 1-0 pada perlawanan kumpulan A bola sepak Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Mohd. Noor Derus muncul wira tuan rumah dengan menyumbat gol kemenangan minit ke-24 menerusi rembatan kencangnya yang melepasi jangkauan penjaga gol Perak, Zamri Mat Arif.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan Terengganu di tangga teratas kumpulan buat pertama kali berikutan kekalahan pendahulu sebelum ini, Selangor kepada Negeri Sembilan.

Gol kemenangan Terengganu dijaringkan oleh Mohd. Noor Derus pada minit ke-24 separuh masa pertama setelah rembatan kencangnya terlepas daripada genggaman penjaga gol Perak, Zamri Mat Arif.

Tiga pemain Terengganu - Sapian Wahid, Rosdi Talib dan Anuar Jusoh dilayangkan kad kuning sementara pemain Perak, V. Saravanan juga menerima nasib yang sama.

Sementara itu, sepakan penalti memberi kelebihan kepada Perlis yang menumpaskan Pulau Pinang 7-6 selepas kedudukan masa permainan sebenar berkesudahan 1-1 dalam kumpulan yang sama di Stadium Utama Kangar.

Di hadapan penyokong sendiri, skuad 'Singa Utara' yang turun penuh bersemangat memberi tentangan sengit kepada Pulau Pinang.

Stadium Utama bergema sorakan penyokong tuan rumah apabila Perlis memperoleh gol menerusi Manzoor Azwira minit ke-35 tetapi Pulau Pinang menyamakan kedudukan menerusi Azman Adnan minit ke-59, memaksa sepakan penalti penentuan.

Lapan sepakan yang diberikan menyaksikan hanya Fuad Mohd. Noor gagal menyempurnakan berbanding Pulau Pinang menerusi dua pemain, Asmawi Bakiri dan Abdul Rahim Hassan.

Dalam permainan sepenuh masa kesilapan barisan pertahanan pelawat menjatuhkan pemain Perlis, Ridzuan membawa padah apabila pengadil, Nik Ahmad Yaakob dan Abdul Rahim Ali menghadiahkan sepakan percuma kepada Perlis.

Bekas pemain Pulau Pinang, Manzoor melakukan sepakan melencong ke dalam penjuru gawang Pulau Pinang yang gagal ditepis oleh penjaga gawang, Megat Amir untuk jaringan pertama Perlis pada minit ke-35 sebelum Azman menanduk masuk hantaran Moey Kok Hong untuk gol penyamaan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4SMGucimH © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan