ARKIB : 15/07/1999
BEKAS penyerang skuad remaja
Pahang, Zulkifli Mamat mungkin menyertai pasukan Terengganu dalam pertandingan
kelayakan bola sepak Piala Malaysia bermula 21 Ogos depan.
Setiausaha Persatuan Bola Sepak
Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh berkata, pemain berasal dari Kemaman
itu akan dipanggil mengikuti latihan Sabtu ini.
''Kita berharap Zulkifli dapat
menyertai Terengganu dalam pusingan kelayakan Piala Malaysia,'' katanya di
Kuala Terengganu, semalam.
Terengganu yang bermain dalam
kumpulan B akan bertemu Johor FC pada perlawanan pembukaan di Stadium Sultan
Ismail Nasiruddin Shah 21 Ogos ini. Dua lagi pasukan dalam kumpulan ini ialah
Perak dan Melaka.
Abdullah berkata, Terengganu
juga akan menguji dua penyerang pasukan Piala Presiden Terengganu, Alfian Aziz
dan Ahmad Taharin Sabtu.
Beliau mengakui Terengganu
lemah barisan serangan dan sedang berusaha mengatasinya.
Mengenai kenyataan Yunus Alif
yang sedang merisik dua penyerang sebuah kelab di Kuala Lumpur, beliau berkata
itu mungkin perancangan jurulatih itu sendiri.
''Kita memang mengalu-alukannya
jika ada pemain-pemain penyerang daripada luar Terengganu berminat menabur
bakti di negeri ini,'' katanya.
Abdullah berkata, Terengganu
sedar peluang memasuki Piala Malaysia mungkin berkecai jika salah langkah dan
strategi.
Beliau berkata buat masa ini,
PBSNT belum memikirkan bentuk insentif yang akan diberikan kepada pemain di
atas kejayaan memasuki pertandingan akhir Piala FA tahun ini.
Sementara itu di Kota Baharu,
Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan (Kafa) pula akan melakukan perubahan
drastik dalam pasukan negeri bagi menghadapi cabaran pusingan kelayakan
(play-off) Piala Malaysia.
Ia dijangka mengumumkan senarai
baru pemain Jumaat ini selepas mesyuarat pengurusan.
Timbalan Yang Dipertua Kafa
Yusuff Ali berkata, beberapa pemain yang prestasinya menurun sepanjang beraksi
Liga Perdana Dua musim ini akan digugurkan dan beberapa muka baru mungkin
diserapkan dari Liga Simpanan untuk digandingkan dengan pemain senior.
Kafa mengenalpasti kelemahan
yang ada termasuk kekurangan penyerang utama dan perancang yang bijak,
menyebabkan Kelantan menduduki tangga ke lima Liga Perdana Dua.
Dalam pada itu, bekas pemain
kebangsaan Zahasmi Ismail sudah bersedia kembali membantu Kelantan selepas
pulih daripada kecederaan.
Jurulatih Kelantan, Mosthakeen
Omar pula berkata beliau telah menyerahkan cadangan senarai pemain kepada pihak
pengurusan untuk dinilai.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0715&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S3m3pziy
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan