Isnin, 19 Disember 2016

Pahang masih belum mengaku kalah


 

ARKIB : 13/04/2000
PENJAGA gol Terengganu, Zubir Ibrahim menghalang pemain Pahang, Wan Rohaimi Ismail daripada menendang bola pada perlawanan bola sepak Piala FA di Kuantan, kelmarin. Terengganu menang 3-0.

DI ATAS kertas, mendahului 3-0 sudah dikira cukup selesa, tetapi bagi jurulatih Terengganu, Yunus Aliff, ungkapan apa saja kemungkinan boleh berlaku dalam bola sepak, masih lagi menjadi pegangannya, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Justeru Yunus secara merendah diri menganggap, Pahang masih turut mempunyai peluang seimbang untuk berbuat sesuatu dalam baki 90 minit pada suku akhir kedua Piala FA di Kuala Terengganu, 25 April ini.

''Pengalaman saya sebagai pemain dan jurulatih cukup mematangkan saya untuk menolak daripada berasa terlalu yakin dan selesa,'' kata Yunus.

''Saya sentiasa ingatkan pemain supaya jangan leka kerana itu hanya akan mengundang padah dalam apa jua perlawanan,'' katanya lagi.

Yunus mengulas persembahan pasukannya yang juga naib juara Piala FA tahun lalu pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan, kelmarin.

Menurutnya, skuad Penyu juga sentiasa ditekankan agar terus mengamalkan corak menyerang sekalipun sudah mendahului lawan dengan satu atau dua gol.

''Ini (suku akhir pertama) cuma sebagai permulaan. Apa pun dengan modal 3-0 ini, Terengganu tidak sesekali akan mengamalkan corak bertahan pada suku akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah,'' katanya.

Yunus menyifatkan kemenangan anak buahnya itu mungkin kerana pemain sudah mengerti mereka tidak perlu bermain di bawah tekanan sebaliknya dengan matlamat untuk menang dan mencari seberapa banyak gol.

''Hasil pendekatan yang bermatlamat positif juga membolehkan aksi menghantar bola ke belakang sudah mulai berjaya dikikis daripada pemain saya,'' katanya lagi.

Beliau turut mengakui aksi Hairuddin Omar, Halim Jantan dan Armi Shariff kelmarin menjadi antara penyumbang utama kemenangan Terengganu, kelmarin.

Bagaimanapun, Yunus juga berpendapat, barisan tenaga muda Penyu itu masih lagi memerlukan masa dan banyak pendedahan untuk mencapai kematangan permainan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TGoqXi6W © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan