Jumaat, 9 Disember 2016

Pahang hampir tersungkur, Selangor layu


 

ARKIB : 11/10/1999
BARISAN penyerang Pulau Pinang meraikan gol ketiga jaringan R. Suresh Kumar ketika mengalahkan Selangor pada perlawanan bola sepak kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Bandaraya, Kelmarin. Pulau Pinang menang besar 5-0.

KONSISTEN cuma bersifat sementara bagi Pahang dan Selangor apabila perlawanan keempat dalam arena bola sepak Piala Malaysia kelmarin membawa kejutan yang teramat perit untuk mereka tanggung.

Tok Gajah nyaris tersungkur di Kuantan dalam tempoh 90 minit walaupun secara muktamadnya, tetap tunduk dengan penalti kepada Sarawak 2-4.

Rekod sempurna mata penuh berturut-turut dan gelaran Perdana Satu yang dicalar Bujang Senang membayangkan Pahang seperti sudah khayal dengan kejayaan lalu lantas mengabaikan aksi semasa.

Sarawak membuktikan segalanya terlalu awal untuk Pahang banggakan dan jika tanpa penyamaan oleh bekas tonggak Olimpik 2000, Tengku Hazman Hassan, teraju kumpulan B pasti berpindah tuan.

Sarawak tidak memanfaatkan ketiadaan pemain Pahang, Shahrulnizam Sahat yang dibuang padang walaupun permainan kelmarin diakui sentiasa memberi kelebihan kepada pelawat.

Bagi Red Giant, menjadi mangsa ratahan Harimau Kumbang 0-5 merupakan satu igauan buruk ketika baru cuba melupakan kekalahan sulung 1-2 kepada Negeri Sembilan di Shah Alam, minggu lalu.

Ia bertambah perit apabila yang bertanggungjawab melontar Selangor ke tangga tercorot kumpulan A kelmarin ialah bekas pemain buangannya, Azman Adnan dan Shahril Arsat.

Sebaliknya Pulau Pinang mempunyai dua sebab berganda untuk terus bergembira meraikannya.

Harimau Kumbang tidak hanya merampas peranan pendahulu kumpulan A bahkan mencipta 'kenduri golnya' terbesar Piala Malaysia musim ini sesudah membelasah Terengganu 5-1, bulan lalu.

Sukar mengekalkan rentak konsisten turut menemani Negeri Sembilan ketika bertandang ke Ipoh apabila tunduk 1-2 kepada Perak.

Kebangkitan saat akhir yang membenam Selangor minggu lalu, cuba diulangi kelmarin tetapi sudah tidak menjadi lagi.

Rusa kecundang selepas dihukum akibat salah faham bentengnya tetapi dengan menduduki tangga kedua kumpulan A, Perak, naib juara musim lalu tampak menemui masa yang tepat untuk mengembalikan keyakinan penontonnya.

Perlis tidak mahu ketinggalan untuk bangkit perlahan-lahan dalam usaha melenyapkan taraf play-off dan Perdana Duanya dengan meragut tiga mata dari tangan Terengganu.

Minggu lalu, Terengganu sekadar menang tipis 1-0 dan kekalahan kelmarin membuktikan Penyu masih kesulitan untuk bebas daripada belenggu prestasi tidak menentunya.

Keyakinan Kuala Lumpur kembali pulih sesudah tiga kali kecundang dan kemenangan selesa 2-0 ke atas Sabah, memberi isyarat bahawa tempat tercorot kumpulan B ini sudah tidak sesuai lagi buat sebuah pasukan yang bergelar juara Piala FA.

Juara Perdana Dua, Johor berada di ambang kejatuhan dalam kumpulan B malah kekalahan 1-3 kepada Brunei mengesahkan betapa sengat Jengking bagaikan tidak laku untuk dipertaruhkan pada Piala Malaysia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1011&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SOomMazL © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan