Isnin, 12 Disember 2016

Perlawanan antara Terengganu, Sarawak 23 November

ARKIB : 18/11/1999
PERLAWANAN separuh akhir pertama bola sepak Piala Malaysia antara Terengganu dan Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu yang dijadual berlangsung Isnin ini ditunda sehari kemudian.

Perubahan perlawanan itu diputuskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menghormati malam sambutan nisfu Syaaban yang jatuh pada 22 November.

Perlawanan itu sebaliknya diadakan pada keesokan hari dengan waktu yang sama - 8.45 malam.

Dalam pada itu isu tiket perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Terengganu menentang Sarawak dijangka berakhir hari ini apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengadakan mesyuarat.

Mesyuarat itu dibuat bagi menyelesaikan masalah sama ada PBSNT akan menaikkan harga tiket perlawanan itu atau dikekalkan pada harga asal.

''Keputusan mengenainya akan diketahui selepas mesyuarat PBSNT,'' kata Presidennya, Datuk Che Mat Jusoh di Kuala Terengganu.

Beliau memberitahu, PBSNT mungkin akan menaikkan harga tiket perlawanan separuh akhir pertama di Kuala Terengganu, Selasa ini.

Che Mat yang tidak menyebut mengenai kadar kenaikan itu menjelaskan, ia dibuat memandangkan Terengganu jarang berkesempatan menjejaki peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Beliau yang juga Pengurus Terengganu turut menafikan ketepatan laporan akhbar sebelum ini bahawa PBSNT tidak berhasrat menaikkan harga tiket perlawanan itu.

''Kenyataan dari laporan akhbar tempoh hari tidak benar dan kita akan bincang dalam mesyuarat itu nanti,'' katanya.

Sebelum ini, laporan akhbar memetik Setiausaha PBSNT, Abdullah Salleh sebagai berkata, persatuan itu tidak berhasrat menaikkan harga tiket perlawanan berkenaan.

Ini kerana jelasnya, harga tiket sekarang sudah dianggap berpatutan agar tidak membebankan peminat bola sepak menyaksikannya.

Buat masa ini tiket-tiket dijual pada harga RM18 untuk tempat duduk berbumbung manakala tempat biasa RM7.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4ShGW5N5v © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan