Jumaat, 2 Disember 2016

Terengganu berhati-hati temu P. Pinang

ARKIB : 04/05/1999
BEKALAN tiga jaringan masih membimbangkan Terengganu malah jurulatih, Yunus Alif tetap merasakan keperitan yang bakal dihadapi 'anak-anak buahnya' apabila berdepan Pulau Pinang dalam pusingan kedua bola sepak Piala FA di Stadium Bandaraya, malam ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Menurut Yunus, tanpa khidmat dua tonggak yang dibelenggu kecederaan, Rosli Omar dan Wan Ahmad Ridzuan, Terengganu akan berhempas pulas untuk mengekang kemaraan Pulau Pinang.

''Keputusan 4-1 yang menyebelahi Terengganu dalam pusingan pertama boleh menjadi sebaliknya jika pemain terlalu yakin atau leka.

''Ini kerana kita masih mempunyai 90 minit, suatu tempoh yang panjang untuk menentukan kedudukan sebenar,'' kata beliau ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, kata Yunus, beliau mengakui kemenangan 4-1 ke atas Pulau Pinang dalam pusingan pertama memberi sedikit kelebihan sebagai bekalan untuk meneruskan cabaran pusingan kedua.

''Begitu juga kemenangan berterusan ke atas Pulau Pinang dalam saingan berbeza iaitu Piala FA dan Liga Perdana Satu pasti menyemarakkan semangat Terengganu,'' tambah beliau.

Yunus berkata, kemenangan 7-8 ke atas Pulau Pinang menerusi sepakan penalti dalam perlawanan Liga Perdana Satu di Stadium Bandaraya dan kemampuan mengalahkan skuad sama 1-0 di Kuala Terengganu begitu penting bagi mendorong pemain supaya lebih berkeyakinan.

''Jika boleh, kita mahu meneruskan kesinambungan daripada kemenangan ke atas Pulau Pinang tetapi dalam masa yang sama, pemain jangan terlalu ghairah.

''Kita perlu berhati-hati kerana bukannya mudah menghadapi Pulau Pinang di gelanggang mereka sendiri, apatah lagi jika barisan terkuatnya beraksi,'' kata beliau.

Yunus memberitahu, pastinya Azman Adnan akan menjadi pemain merbahaya bagi Terengganu sekiranya Pulau Pinang menurunkan penyerang yang kini menjaringkan tujuh gol itu.

Mengenai saingan Piala FA, Yunus berkata, Terengganu turut memberi perhatian serius terhadap perlawanan tersebut selain daripada Liga Perdana Satu dan Piala Malaysia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RgcZX8yE © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan