ARKIB : 29/12/1999
JURULATIH Terengganu, Yunus
Aliff mengenal pasti tiga pemain baru, seorang penyerang dan dua pemain tengah,
bagi memperkuatkan pasukan Penyu itu dalam menghadapi Liga Perdana musim baru
tahun depan.
Beliau bagaimanapun enggan
menamakan ketiga-tiganya selagi mereka belum menandatangani kontrak.
Yunus memberitahu di Kuala
Terengganu semalam bahawa ketiga-tiga pemain itu merupakan pemain utama yang
dipercayai dapat memberi nafas baru kepada pasukan Terengganu yang meletakkan
sasaran menjuarai Liga Perdana dan Piala Malaysia tahun depan.
Menurut Yunus, beliau telah
melamar pemain-pemain berkenaan dan kini sedang menunggu kata putus daripada
mereka.
Yunus berkata, Terengganu
memerlukan beberapa pemain baru bagi menampung penghijrahan beberapa pemainnya
ke negeri lain dan beliau telah ditugaskan untuk mencari pemain pengganti itu.
Beliau berkata mengikut
peraturan, Terengganu boleh mendaftarkan 25 pemain, tetapi pasukan Penyu itu
sekarang cuma mempunyai 16 pemain sahaja setelah Wan Ahmad Ridzuan, Badrul
Afzan Razali, Baharuddin Ali dan Tai Sin Kiat berhijrah ke negeri lain.
Yunus yang dilantik sebagai
jurulatih Terengganu bagi menggantikan Abdul Rahman Ibrahim yang dilantik
sebagai jurulatih kebangsaan berkata, beliau perlu mencari dua atau tiga lagi
pemain baru, selain daripada pemain yang dikenal pasti itu.
''Kita perlu lebih ramai pemain
memandangkan kejohanan Liga Perdana tahun depan lebih mencabar dan lebih banyak
perlawanan kerana 16 pasukan akan bertanding dalam kejohanan itu berbanding 12
pasukan sebelum ini,'' katanya.
Beliau berkata, pasukan
Terengganu akan memulakan latihan selepas majlis menandatangan kontrak
pemain-pemain diadakan pada 16 Januari. - Bernama
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4SnpnjO7u
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan