ARKIB : 28/06/1999
PERTEMUAN Kuala Lumpur dan
Terengganu merebut juara bola sepak Piala FA dijangka menarik selepas nasib
berbeza dialami kedua-dua pasukan dalam persaingan liga masing-masing.
Kuala Lumpur menutup tirai Liga
Perdana Satu dengan kejayaan meneruskan cabaran ke Piala Malaysia secara
automatik apabila menjadi pasukan terakhir dalam kumpulan melayakkan diri.
Sementara Terengganu yang
beraksi dalam Liga Perdana Dua terpaksa berhempas pulas bersama tujuh lagi
pasukan sebelum mengesahkan tempat ke piala berprestij itu.
Bagaimanapun, kedua-dua pasukan
mendapat kesempatan terbaik untuk menjulang piala pertama musim ini selepas
melayakkan diri ke persaingan akhir Piala FA selepas menyingkirkan lawan
masing-masing.
Kuala Lumpur membuktikan
kehebatan dengan menyingkirkan Sabah menerusi agregat 1-0, manakala Terengganu
mara selepas mengetepikan Negeri Sembilan hasil agregat 3-1.
Jaringan 'emas' Mohd. Imran
Ahmad pada separuh akhir pertama di gelanggang sendiri memastikan Kuala Lumpur
meneruskan langkah cemerlang ke perlawanan akhir Piala FA selepas separuh akhir
kedua gagal menjanjikan sesuatu.
Kelebihan satu jaringan itu
membawa tuah buat Kuala Lumpur selepas perlawanan kedua kelmarin hanya bertahan
pada kedudukan seri tanpa jaringan dengan Sabah.
Bagi Sabah yang juga naib juara
tahun lalu, sokongan penonton di Stadium Likas belum cukup untuk mengubah
keputusan awal malah kegagalan jentera penyerang melakukan aksi penyudah nyata
membawa padah.
Malah anak buah jurulatih Kuala
Lumpur, Mat Zan Mat Aris berjaya membuktikan betapa kebal gawang mereka di
gelanggang lawan, sekali pun Sabah boleh berbangga kerana berjaya mematahkan
setiap serangan lawan.
Sementara itu, Stadium Tuanku
Abdul Rahman, Paroi pula sudah mencalar duka buat Negeri Sembilan yang hanya
mampu mengikat kedudukan seri 1-1 dengan Terengganu, tetapi impian tuan rumah
untuk menjulang Piala FA musim ini nyata berkecai.
Selepas kecundang 0-2 di Kuala
Terenggunu pada persaingan awal separuh akhir pertama, Negeri Sembilan
dikejutkan pula di gelanggang sendiri hasil jaringan pembukaan bekas pemain
mereka, A. Ganeson yang kini mewakili Terengganu pada minit ke-23.
Gol penyamaan oleh Zami Mohd.
Nor pada minit terakhir permainan gagal menyekat Terengganu meneruskan laluan
dalam usaha merangkul gelaran pertama musim ini selepas 'aksi serba tak
menjadi' pasukan pantai timur itu dalam persaingan liga.
Kemenangan Terengganu menerusi
agregat 3-1 membolehkan pasukan itu terus melayari impian untuk
sekurang-kurangnya meraih satu piala musim ini, selepas gelaran Liga Perdana
Dua menjadi milik mutlak Johor yang menempah persaingan automatik ke Piala
Malaysia, musim ini.
Sekali pun di atas kertas,
Kuala Lumpur kelihatan cukup mantap untuk merangkul gelaran pertama itu, namun
keupayaan Terengganu tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Anak buah Yunus Alif pastinya
tidak memberi jalan mudah buat kesebelasan Mat Zan, walau pun Terengganu masih
mempunyai tugas yang belum selesai dalam usaha menempah persaingan Piala
Malaysia.
Apa pun, pertembungan Kuala
Lumpur-Terengganu pasti menjanjikan sesuatu selepas mereka mempamerkan
kehebatan menyingkirkan juara liga Perdana Satu, Pahang dan juara Liga Perdana
Dua, Johor untuk merebut Piala FA musim ini.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0628&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RyEoyrEW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan