Ahad, 11 Disember 2016

Penyu, Singa Utara selesa

ARKIB : 31/10/1999
TERENGGANU memperkukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu kumpulan A bola sepak Piala Malaysia menerusi kemenangan selesa 2-0 ke atas Pulau Pinang, semalam.

Sebaliknya kekalahan ini membuatkan Pulau Pinang terus serasi dengan gelaran 'jaguh kampung' kerana cuma gagah di Stadium Bandaraya tetapi tidak pernah bernasib baik apabila ke gelanggang lawan.

Harimau Kumbang tiba di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sekurang-kurangnya dengan hajat mengutip satu mata dan berjaya mengekang tuan rumah 0-0 dalam 45 minit babak pertama.

Bagaimanapun Penyu enggan menghampakan ribuan penyokongnya lalu membuka jaringan pada minit ke-57 menerusi Sapian Wahid.

Zulfakri Ashaari pula tidak menunjukkan belas kepada pelawat apabila jaringannya pada minit ke-70 mengesahkan tiga mata berharga buat tuan rumah.

Terengganu kini diekori oleh pasukan kerdil, Perlis selepas Singa Utara menewaskan Negeri Sembilan 3-2 di Stadium Utama, Kangar dalam satu lagi perlawanan kumpulan A.

Namun hasil kemenangan perlawanan pusingan kedua ini masih melonjakkan Perlis ke tangga kedua memotong Pulau Pinang.

Gol pertama tuan rumah diperoleh pada minit ke-12 hasil sepakan percuma di luar kotak penalti oleh Manzor Azwira Wahid setelah bola terkena salah sorang pertahanan Negeri.

Singa Utara yang banyak mengasak pada separuh masa pertama, beroleh gol kedua hasil tandukan Ridzuan Abu Shah menerusi sepakan bebas daripada Rozmi Musa minit ke-43.

Perlis menambah jaringan pada minit ke-56 oleh Samsurin Rahman hasil hantaran ketua pasukan, Yusri Che Lah.

Malangnya, tuan rumah seperti leka dengan kedudukan selesa itu lalu mengakibatkan dua gol lawan muncul sekali gus merapatkan kedudukan.

Menerusi sepakan kencang dalam kotak penalti, penyerang negara Zami Mohd. Noor menggegar gawang Perlis pada minit ke-58.

Ketika anak buah Tajuddin Nor kelihatan agak penat, Negeri bertambah garang untuk memanfaatkan dua minit terakhir.

Nor Hisham Ismail meledakkan gol kedua Negeri itu walaupun ia dikira sudah terlewat untuk membawa kedudukan setara dan pulang dengan satu mata.

Sementara itu, Perak bangkit daripada ketinggalan sebanyak dua kali sebelum mencatat kemenangan 4-2 ke atas Selangor dalam satu lagi perlawanan kumpulan A di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Azrul Amri Burhan menjadi insprasi kemenangan Perak dalam separuh masa kedua menyaksikan tiga jaringan dihasilkan.

Salah satu daripadanya mendorong jaringan Liew Kit Kong pada minit ke-84 dan dua menerusi Azrul sendiri minit ke-55 dan 90.

Selangor bagaimanapun berjaya mendahului seawal minit kesembilan menerusi jaringan Rusdi Suparman sebelum Indra Putra Mahyuddin menyamakan kedudukan buat Perak pada minit ke-29.

Pada minit ke-43, Selangor kembali di depan menerusi jaringan Zainal Abidin Hassan namun Perak membalas tiga jaringan di separuh masa kedua.

Bermula babak pertama, Selangor tidak perlu menunggu lama untuk berada depan apabila Nazzab Hidzan yang berada di tengah padang melakukan hantaran jauh tepat kepada Rusdi yang menyambutnya sebelum melakukan jaringan pada minit ke-9.

Gol itu mengejutkan Perak menyebabkan Weigang memasukkan ayam tambatannya, M. Nagaraja pada minit ke-25 dan empat minit selepas itu, pemain lincah tersebut mengilhamkan gol penyamaan.

Selepas berjaya meloloskan diri di sebelah kiri pintu gol Selangor, Nagaraja hanya melakukan sepakan lemah tetapi bola tampanan penjaga gol lawan muntah ke arah Indra Putra yang kemudiannya menolak bola ke dalam jaring.

Selangor bagaimanapun tidak patah semangat, hantar cantik Rusdi pada minit ke-43 disudahkan pemain veteran, Zainal Abidin yang beraksi selaku penyerang dalam perlawanan ini.

Dengan kedudukan itu, Perak memasukkan perancang utamanya, Azrul Amri Burhan pada minit ke-55 separuh masa kedua dan hanya dua minit selepas itu, Azrul menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan percuma.

Tidak cukup dengan gol itu, Perak menggandakan asakan, akhirnya gol ketiga dihasilkan pada minit ke-84 menerusi Liew Kit Kong yang merembat melepasi jangkauan penjaga gol Selangor.

Ketika permainan hampir tamat, Azrul menyempurnakan sepakan percuma untuk gol keempat pasukan tuan rumah pada minit-minit terakhir permainan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SXaDS4PY © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan