ARKIB : 11/11/1999
PERSATUAN Bola Sepak Negeri
Terengganu (PBSNT) merehatkan pemain pertahanannya A.Ganesan selama dua bulan
kerana pemain itu mengalami kecederaan di pergelangan kaki.
Presiden PBSNT Datuk Che Mat
Jusoh berkata, pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu sekarang berehat di
kampung halamannya sambil berubat.
''Kita mungkin membawa Ganesan
untuk mendapatkan rawatan pakar di salah sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur
tidak lama lagi,'' katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.
Beliau berkata Ganesan
mengalami kecederaan itu semasa Terengganu menentang Perak di Stadium Perak dua
minggu lepas.
Che Mat yang juga pengurus
pasukan berkata, kecederaan Ganesan amat serius, kakinya bengkak begitu teruk
dan akan mengambil masa untuk sembuh.
Beliau berkata sebelum pulang
ke Pulau Pinang, Ganesan telah diberikan rawatan di Kuala Terengganu tetapi
pemain itu dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan lanjut.
''Kita juga meminta Ganesan
supaya mendapatkan rawatan tradisi di Pulau Pinang jika perlu,'' katanya.
Che Mat berkata ketiadaan
Ganesan amat terasa terutamnya ketika Terengganu memerlukan semua sumber
tenaganya untuk ke pertandingan separuh akhir Piala Malaysia walaupun
Terengganu mempunyai pemain pengganti.
Beliau berkata Terengganu juga
mungkin kehilangan dua pemain pertahanan lain dalam menghadapi pertandingan
separuh akhir -- Azman Ismail dan Rosdi Talib kerana kedua-dua pemain berkenaan
masih cedera. - Bernama
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4SbJkJc9m
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan