ARKIB : 04/07/1999
BIAR pun tidak sehebat ''Copa
America,'' keistimewaan tersendiri dua pasukan melangkah perlawanan akhir Piala
FA seharusnya menyajikan aksi menarik Terengganu yang berdepan Kuala Lumpur di
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.
Antara Terengganu dengan Kuala
Lumpur, tidak terlalu jauh perbezaannya kerana kedua-dua pasukan bukannya
pilihan dalam saingan Perdana Satu.
Terengganu, bakal bersaing
dalam play off untuk layak ke Piala Malaysia manakala Kuala Lumpur hampir
menerima nasib yang sama tetapi terselamat selepas mendudukki tempat kelapan
dalam Perdana Satu, kuota terakhir menyelamatkannya.
Jelas, kedua-duanya bukan
pilihan terbaik berbanding skuad ''gergasi'' tetapi kemampuannya ke perlawanan
akhir Piala FA cukup menarik untuk direnung selepas pasukan bergelar juara
Perdana Satu, Pahang dan barisan ''bintang'' Pulau Pinang tersingkir.
Ramai pemerhati bola sepak
menyifatkan pasukan handalan kurang memberi tumpuan kepada Piala FA untuk
beralih merebut gelaran lebih berprestij seperti kejuaraan Perdana Satu atau
Piala Malaysia.
Sebenarnya, itu hanya alasan
bagi menjaga kewibawaan skuad handalan supaya tidak dicemuh kerana tersingkir
dalam saingan Piala FA.
Pasukan mana yang enggan
menerima Piala FA buat menambah koleksi kejuaraan atau bagi mengelakkan
''gelaran dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran'' disebabkan terlepas
kesemua piala musim ini.
Ternyata, saingan Piala FA
memastikan hanya ''Penyu'' di Pantai Timur berupaya untuk berdepan ''Helang''
yang pasti tidak mudah untuk ditewaskan walaupun beraksi di gelanggang
Terengganu.
Skuad ''penyu'' di bawah dua
jurulatih berbeza menjejak perlawanan akhir walaupun merebut berlainan gelaran
pada tahun lalu dan musim ini.
Sekiranya jurulatih Abdul
Rahman Ibrahim berjaya memastikan Terengganu ke perlawanan akhir Piala
Malaysia, penggantinya Yunus Alif menjejak pula Piala FA yang pasti mencipta
sejarah besar jika berjaya dibawa pulang ke Terengganu.
Selepas kempunan dalam saingan
akhir Piala Malaysia tahun lalu apabila tewas kepada Perak menerusi sepakan
penalti, Terengganu pastinya tidak mahu membiarkan ''luka yang lama berdarah
kembali.''
Sejarah tentunya mahu diukir
oleh Terengganu, bukan sahaja untuk untuk beraksi pertama kali dalam perlawanan
akhir yang sudah tercapai, malah lebih daripada itu, merangkul Piala FA.
Kelebihan beraksi di gelanggang
sendiri sudah tentunya mahu dijadikan penyemarak Terengganu bagi mengekang
kemaraan Kuala Lumpur untuk memastikan kemenangan buat mengubat kekecewaan
disebabkan kegagalan meraih gelaran yang diidamkan sekian lama.
Barisan yang mengukir
kecemerlangan Terengganu musim lalu seperti penggeraknya, penjaga gol Zubir
Ibrahim, Anuar Jusoh, Badrul Hisham Abdullah dan Mohd. Noor Derus mempunyai
cukup pengalaman untuk beraksi dalam perlawanan akhir.
Selain barisan sedia ada,
Terengganu diperkuatkan pemain kebangsaan, Abdul Ghani Malek serta bekas
tonggak Negeri Sembilan, A. Ganeson yang berkawal di benteng pertahanan.
Bukti keupayaan Terengganu
boleh dinilai selepas menewaskan Negeri Sembilan dengan agregat 3-1 dalam
separuh akhir Piala FA yang ternyata bukannya tugas mudah menghadapi lawan yang
dibarisi ramai pemain kebangsaan termasuk Azmin Azram Aziz, B. Rajinikandh,
Khairul Anuar Baharum, Ahmad Shahrul Azhar dan Zami Mohd. Noor.
Bagaimanapun, Kuala Lumpur
tidak semudah disangka walaupun tanpa ''bintang'' kerana pemain mudanya
mempunyai semangat dan tahap kecergasan tinggi untuk menjayakan misi jurulatih
Mat Zan Mat Aris.
Bayangkan, tanpa pemain
mempunyai nama ''besar,'' Kuala Lumpur layak secara ''automatik'' ke Piala
Malaysia, sesuatu yang gagal dilakukan bukan sahaja oleh Terengganu malah
pasukan daripada Perdana Satu seperti Perak, Brunei serta Kedah.
Kuala Lumpur yang sudah lama
tidak merasai gelaran selepas merangkul Piala FA pada 1993 dan 1994 pasti mahu
memastikan tahun ini pelengkap kejuaraan kali ketiganya selepas hajat
tertangguh disebabkan kekalahan kepada Sarawak pada 1992.
Walaupun barisan terkini Kuala
Lumpur tidak seghairah nama pemainnya suatu ketika dahulu seperti Fandi Ahmad,
kemunculan penyerang muda Mohd. Farid Dewan agak membimbangkan pasukan lawan
termasuk Terengganu.
Kemantapan aksinya dengan Azmir
Nor Hakim Burhan dan Mohd. Nizaruddin Yusof memastikan jentera Kuala Lumpur
bergerak lancar setiap kali mengasak kubu lawan. Jika Sabah berjaya dikekang
dalam separuh akhir Piala FA untuk mengikat kemenangan agregat 1-0, tidak
mustahil Kuala Lumpur mampu memberi saingan lebih sengit kepada Terengganu
dalam perlawanan akhir.
Namun, setiap andaian sudah
tentu tidak sama dengan aksi sebenar dua pasukan di tengah gelanggang yang
seharusnya diiringi persembahan bermutu daripada pemain bagi menepati tuntutan
bola sepak moden supaya Piala FA tetap disanjung tinggi.
Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4S37vlqOu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan