ARKIB : 16/09/1999
PENGURUS Pasukan Terengganu,
Datuk Che Mat Jusoh menegur sesetengah pihak yang ghairah membeza-bezakan
pasukan kuat dan lemah yang diletakkan dalam dua kumpulan untuk Piala Malaysia
bermula 25 September ini.
Beliau yang juga Presiden
Perstuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) turut melahirkan rasa kesal
apabila penilaian seperti itu dibuat seolah-olah memandang rendah ke atas
sesetengah pasukan.
Beliau sebaliknya menegaskan,
semua pasukan yang bertanding untuk Piala Malaysia tidak kira kumpulan A atau B
adalah sama dan setanding.
''Janganlah ada mana-mana pihak
memandang rendah kepada sesetengah pasukan kerana semua pasukan yang bertarung
nanti adalah setanding malah lebih kurang belaka.
''Pada saya, saya menghormati
semua pasukan dan tidak ada mana-mana pasukan yang lemah atau kuat kerana
kesemuanya berupaya layak ke Piala Malaysia,'' katanya di Kuala Terengganu
semalam.
Menurut beliau, buat pasukan
yang merasakan mereka lebih kuat tidak sewajarnya mendabik dada serta berbangga
dengan kekuatan itu sebaliknya perlu menghormati pasukan lain.
Malah katanya, isu undi tak
seimbang seperti yang didakwa sesetengah pihak tidak seharusnya timbul kerana
pemilihan itu adalah muktamad, yang penting matlamat untuk ke Piala Malaysia
tercapai.
Sementara itu skuad Terengganu
yang layak ke Piala Malaysia akan lebih mantap dengan kekuatan seorang lagi
bekas pemain Olimpik 2000 yang bakal beraksi menyarung jersey hitam putih itu.
Farazilah Mamat, 20, pemain
kelahiran Terengganu itu telah pun selesai mendaftarkan diri untuk menyertai
Penyu membabitkan perjanjian antara PBSNT dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) dua hari lalu.
Che Mat Jusoh berkata, pemain
berasal dari Marang itu mungkin akan diserapkan bagi memantapkan lagi barisan
pertahanan Terengganu.
Beliau bagaimanapun
memberitahu, peluang pemain itu beraksi bergantung kepada prestasinya
''Selain itu kita juga sedang
mencari seorang dua lagi pemain untuk memperkuatkan barisan serangan.
''Kita mempelawa mana-mana
pemain yang berminat untuk menyertai pasukan Terengganu sebagai persiapan
mengharungi Piala Malaysia yang lebih mencabar,'' katanya di Kuala Terengganu,
semalam.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4SGJZOKb1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan