ARKIB : 13/07/1999
TERENGGANU sedang merisik dua
pemain penyerang daripada sebuah kelab bola sepak dalam usaha memantapkan
pasukan negeri bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Malaysia yang akan
bermula 21 Ogos ini.
Jurulatihnya Yunus Ali berkata,
kedua-dua pemain itu dijangka datang ke Terenganu Sabtu ini untuk menjalani
ujian bersama-sama pemain Terengganu yang lain.
''Kita sedang berunding dengan
pemain berkenaan dan sekiranya mencapai kata sepakat, kedua-dua pemain akan
berhijrah ke Terengganu,'' katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, Terengganu
perlu mencari pemain penyerang yang mampu memantapkan lagi pasukan bagi
menghidupkan peluangnya ke pertandingan Piala Malaysia kerana pemain-pemain
penyerang yang ada memerlukan masa untuk menjadi penyerang disegani.
Beliau berkata, pasukan
Terengganu akan memulakan latihan mulai Sabtu ini dan strategi pertamanya ialah
untuk menggerakkan jentera serangan.
Yunus berkata Terengganu berada
dalam satu kumpulan bersama Perak, Melaka serta pasukan kelab, Johor FC.
Terengganu tidak memandang
ringan semua lawannya dalam kumpulan itu, lebih-lebih lagi Melaka dan Johor FC.
Yunus berkata, beliau akan
meningkatkan prestasi pasukan dan memperkemaskan kelemahan bagi memastikan
Terengganu tidak berputih mata dalam pertandingan kelayakan itu. - Bernama.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4S3e55KhF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan