Jumaat, 16 Disember 2016

Terengganu daftar 23 pemain untuk cabaran Liga Perdana

ARKIB : 02/03/2000
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mendaftar 23 pemain dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Isnin lalu untuk Liga Perdana Satu musim ini.

Setiausaha PBSNT, Abdullah Salleh berkata, tiga di antara mereka merupakan muka baru yang mengambil tempat pemain-pemain musim lepas yang berhijrah ke pasukan lain.

''Kita rasa pemain-pemain baru yang akan mewakili Terengganu musim ini tidak kurang hebatnya berbanding pemain yang sudah berhijrah,'' katanya.

Beliau berkata, Terengganu akan membentuk sebuah pasukan yang lebih baik dan mantap bagi memenuhi sasarannya untuk menjadi juara sama ada Piala FA, Liga Perdana atau Piala Malaysia.

Abdullah berkata, jurulatih Yunus Alif sedang bekerja keras untuk memantapkan persefahaman antara pemain lama dan baru.

Beliau berkata, Terengganu telah didedahkan dalam kejohanan empat penjuru di Kota Bharu dengan Kelantan FA, Pulau Pinang dan JKR Kelantan minggu lepas dan menduduki tempat ketiga.

Menurut beliau, sebelum menghadapi pertandingan Piala FA, pasukan itu akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan di selatan Thailand pada 8 sehingga 11 Mac ini.

Abdullah berkata, para pemain juga akan dibawa ke Maktab Perguruan Batu Rakit untuk mengikuti kursus motivasi Ahad ini.

Pemain-pemain Terengganu ialah Mohd. Zazuri Mohamad, Alfian Abdul Aziz, Taharin Yusof, Zubir Ibrahim, Arifin Musa, A. Ganisan, Ghani Malik, Rosdi Talib, Zulharisham Awang, Zainal Abidin Abu Bakar, Mustapa Kamal, Rosadi Wahab, Rosli Omar, Subri Sulong, Kharirul Anuar Karim, Armi Sharif, Sapian Wahid, Halim Jantan, Hariruddin Omar, Mohd. Nafuzi Zin, Zulfakri Shaari, Tuan Rosli Tuan Saari dan Faziallah Mamat. - Bernama

Artikel Penuh: sumber-http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4T0FNvL4p © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan