ARKIB : 27/05/1999
TERENGGANU akan menurunkan Syamsol
Saad dan Zulfakri Shaari bagi memantapkan pasukan apabila bertemu Perak dalam
pertandingan Liga Perdana Satu di sini pada 29 Mei ini.
Penolong pengurus pasukan Ramli
Embong berkata, ini berikutan kedua-dua pemain pertahanan itu sudah sembuh dan
disahkan oleh pegawai perubatan sebagai boleh bermain.
''Semua pemain Terengganu
sekarang tidak dibelenggu kecederaan dan kesemuanya boleh diturunkan,''
katanya.
Beliau berkata Syamsol yang
cedera direhatkan sejak awal musim liga, buat pertama kali diturunkan dalam
separuh masa kedua ketika Terengganu menentang Pahang pada 22 Mei lepas.
Bagimanapun, katanya, Syamsol
yang berasal dari Taiping tidak diturunkan ketika Terengganu bertemu Kelantan
dalam pertandingan Piala FA di Kuala Terengganu kelmarin kerana kurang sihat.
Ramli berkata, Zulfakri pula
direhatkan sejak kakinya cedera semasa menentang Kuala Lumpur pada pertandingan
Piala FA di Kuala Terengganu bulan lepas dan dia sekarang sudah bersiap sedia
untuk beraksi.
Beliau berkata, walaupun
Terengganu mempunyai ramai pemain berkebolehan tetapi kehadiran Syamsol dan
Zulfakri akan memantapkan lagi barisan pemain yang ada.
Menurut beliau, Terengganu
pernah tewas di tangan Perak 3-1 dalam perlawanan pusingan awal di Ipoh ketika
Terengganu masih belum bersedia dan berada dalam keadaan kurang mantap.
Ramli berkata lagi, pertemuan
kali kedua antara juara dan naib juara Piala Malaysia tahun lepas itu dijangka
lebih menarik dan yang pasti Terengganu akan menebus malu yang terconteng di
Ipoh.
Beliau memberitahu, beberapa
orang pemain utama seperti penjaga gol Zubir Ibrahim dan Sopian Wahid
(penyerang) terpaksa direhatkan ketika Terengganu menentang Kelantan dalam
Piala FA, kelmarin bagi persediaan menghadapi Perak.
Ramli berkata, jurulatih Yunus
Alif telah mengarahkan para pemainnya supaya memberikan persembahan terbaik
bagi memastikan Terengganu tidak kecundang buat kali kedua.
Menurut beliau, jurulatih itu
sedang memberikan perhatian dan tumpuan khusus bagi meningkatkan prestasi
barisan serangan yang kurang menyengat dan mengerunkan pasukan lawan. -
Bernama.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RmU6Xpy3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan