Ahad, 11 Disember 2016

Penyu masih boleh dipintas Singa Utara

ARKIB : 25/10/1999
KETIKA Pahang kembali pada kedudukannya selaku pendahulu kumpulan B, naib juara musim lalu, Terengganu mungkin hanya mampu bertahan selama dua hari di puncak kumpulan A bola sepak Piala Malaysia.

Pendahulu kumpulan A sebelum ini, Perlis hanya akan beraksi malam ini menentang Selangor di Shah Alam tetapi jika Singa Utara tersilap langkah, Penyu bakal menerajui kumpulan untuk tempoh sekurang-kurangnya seminggu ini.

Namun, Perlis pasti tidak merelakan takhta mereka dirampas begitu sahaja tanpa memberi cabaran kerana laluan ke separuh akhir Piala Malaysia sudah terbentang di depan mata.

Singa Utara kini di tangga ketiga dengan sembilan mata selepas lima perlawanan manakala Terengganu 12 mata selepas enam perlawanan.

Perlawanan dengan pasukan terbawah, Selangor malam ini tidak harus disia-siakan anak buah Tajudin Noor biarpun sedar aksi di gelanggang lawan begitu memeritkan.

Perlis perlu menang dengan sekurang-kurangnya dua gol selain memastikan pintu gol sendiri tidak dibolosi kerana kemenangan sekali pun akan menyaksikan mereka berkongsi kedudukan mata.

Cuma perbezaan jaringan yang menentukan kedudukan teratas kumpulan dan Perlis perlu mencari kejayaan itu.

Tetapi lawan Perlis, skuad Merah Kuning yang terperosok di tangga terbawah kumpulan, pasti mahu memperbaiki kedudukan di samping memelihara maruah sebagai juara Piala Malaysia 28 kali.

Pasukan K. Rajagopal sudah bersedia untuk memikul tugas getir itu sekali gus mencalarkan harapan Tajuddin untuk menyambung kejutan Perlis sesudah Abdul Rahman Ibrahim melakukannya dua musim lalu.

Begitu pun, kedudukan pasukan dalam kedua-dua kumpulan sebenarnya masih terbuka luas dan baki empat perlawanan masih memberi ruang untuk masing-masing memperbaiki kedudukan, menjadikan kempen tambah menarik.

Dalam kumpulan A, kecuali Selangor yang hanya mengutip lima mata selepas lima perlawanan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Perak hanya ketinggalan satu mata antara satu sama lain.

Pulau Pinang kurang dua mata di belakang Terengganu dan harus berterima kasih kepada pemain tidak ternama, Abdul Rahim Hassan ketika Harimau Kumbang menang tipis 1-0 ke atas juara bertahan, Perak.

Kumpulan B turut menyaksikan kedudukan serupa dengan kumpulan A. Pahang yang terlepas cengkaman di tempat teratas kepada Brunei minggu lalu, kembali menerajui takhta dengan kejayaan mengutip dua mata menerusi penentuan penalti selepas mereka berjaya mengikat Johor 1-1 di tempat lawan.

Tetapi pasukan di belakangnya, Brunei, Sarawak dan Sabah masing-masing ketinggalan satu mata antara satu sama lain.

Pendek kata, semua pasukan memiliki peluang sama rata, cuma kesilapan yang menentukan untung nasib mereka.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1025&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SWyBlyVx © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan