ARKIB : 26/04/2000
TERENGGANU mara ke separuh
akhir bola sepak Piala FA menerusi agregat 4-3 meskipun tewas 1-3 pada suku
akhir kedua dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Nasiruddin
Shah, Kuala Terengganu, semalam.
RADHUAN HUSSAIN melaporkan,
pasukan tuan rumah yang tidak rela menyerah kalah sentiasa menggoncang kubu
Pahang seawal permainan sebelum memperoleh gol sulung pada minit ke-22 menerusi
sepakan penalti Rusdi Talib.
Pahang berusaha bangkit untuk
merapatkan jurang, namun tertekan dengan asakan-asakan Terengganu, yang masih
belum puas dengan gol pertama.
Jentera serangan pasukan tuan
rumah yang dikemudi oleh Zulfakri Ashaari, Mohd. Armi Shariff dan Hairuddin
Omar sering kali melakukan gerakan-gerakan berbahaya ke pintu gol lawan.
Pahang akhirnya menemui gol
yang dicari-cari menerusi tendangan penalti Azizul Kamaluddin pada minit ke-80.
Pasukan pelawat kian
bersemangat dan akhirnya berjaya menambah gol kedua berikutan kesilapan
Faziallah Mamat yang menendang masuk ke pintu gol sendiri minit ke-82.
Terengganu yang ketinggalan 1-2
semakin tertekan dan kesempatan itu digunakan para pemain Pahang untuk menambah
satu lagi jaringan pada minit ke-86 hasil sentuhan Azizul.
Walaupun gagal ke separuh
akhir, pujian harus diberi kepada Pahang yang bersemangat sehingga ke wisel
penamat.
Di Stadium Darul Aman, Alor
Setar, Sarawak layak ke peringkat yang sama menerusi agregat 2-1 selepas
mengikat Kedah dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Kedah nyata gagal memanfaatkan
peluang bermain di gelanggang sendiri selepas tewas kepada Sarawak 1-2 pada
pertemuan di Kuching, dua minggu lepas.
Lebih malang lagi, Kedah
terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada penghujung permainan selepas Ahmad
Zalghafari Manaf dilayangkan kad merah.
Awal permainan menyaksikan
Sarawak mengenakan tekanan yang menyebabkan tuan rumah terpaksa berkampung di
halaman sendiri bagi mengekang asakan lawan.
Kedah nyaris terhukum pada
minit ke-17 apabila Nazri Yunus yang berdepan dengan S. Ragesh gagal melepaskan
rembatan selepas dihalang oleh Yap Wai Loon.
Sementara itu, dalam
satu-satunya perlawanan Perdana Dua yang berlangsung di Stadium Sultan Mohd.
ke-IV, Kota Bharu semalam, TNB Kelantan dan Telekom Melaka seri 2-2.
Gol TNB Kelantan dijaringkan
oleh Morhim Abdullah (25) dan Zainuddin Ariffin (60), manakala dua gol pasukan
pelawat oleh Mohd Faizal Asmar, minit ke-54 dan 58.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4TL4FZ54f
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan