Isnin, 5 Disember 2016

Ganjaran untuk Penyu jika julang piala

ARKIB : 30/06/1999
PENGURUS Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh mula membayangkan kemungkinan memberi ganjaran kepada para pemainnya jika skuad Penyu mampu menjulang Piala FA pada perlawanan akhir menentang Kuala Lumpur di Kuala Terengganu 4 Julai ini, lapor RADHUAN HUSSAIN.

Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu bagaimanapun berkata, perkara itu belum lagi diputuskan tetapi sekiranya Terengganu berjaya menjuarai Piala FA, ganjaran akan menanti mereka.

''Memang ada ganjaran untuk mereka, jika mereka menang perlawanan itu nanti, begitu juga kita beritahu mereka (pemain) sekiranya masuk separuh akhir, ada bonus.

''Selepas menang (final), ada hadiah,'' katanya yang juga merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) kepada pemberita selepas majlis penutup Konvensyen Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) peringkat negeri di Kuala Terengganu semalam.

Che Mat memberitahu, pihaknya buat masa ini belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu (ganjaran) tetapi menambah, beliau akan berbincang dengan jawatankuasa eksekutif Liga Terengganu.

Malah beliau juga akan berusaha mendapatkan Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad bagi menghulurkan sumbangan atas nama kerajaan negeri untuk para pemain sekiranya berjaya merangkul juara nanti.

Mengenai pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah perlawanan akhir Ahad ini, Che Mat melahirkan rasa terima kasih atas penghormatan itu.

Beliau berkata, ia seolah-olah menghargai kejayaan Terengganu yang pertama kali berjaya menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Piala FA untuk kali ke-10 ini.

''Kita telah berusaha memastikan perlawanan akhir ini diadakan di Kuala Terengganu dan dengan keputusan itu kita amat berterima kasih serta sanjung tinggi,'' ujarnya.

Terengganu yang berjaya menewaskan Negeri Sembilan dengan agregat 3-1 pada perlawanan separuh akhir tempoh hari akan bertemu Kuala Lumpur bagi menentukan juara Piala FA.

Tiket-tiket perlawanan akhir itu dijual pada harga RM30 (berbumbung) dan RM15 (biasa).
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RyiHskwa © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan