ARKIB : 12/04/2000
TERENGGANU mengutip modal
selesa sebelum beraksi pada pusingan kedua di gelanggang sendiri minggu depan
apabila membenam Pahang 3-0 pada saingan suku akhir bola sepak Piala FA,
semalam lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Aksi pusingan pertama di
Stadium Darul Makmur, Kuantan menyaksikan anak buah Yunus Alif menghampakan
tuan rumah yang seolah-olah kurang minat dan hilang tumpuan pada kempen ini.
Dengan tiga jaringan menerusi
Sapian Wahid, Armi Shariff dan Halim Jantan, pasukan Penyu kini cuma perlu
keputusan seri apabila melayani Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah,
Kuala Terengganu.
Permainan hambar dan agak
berhati-hati terpapar sambil hujan yang turun lebat mengiringi awal babak
pertama.
Namun Terengganu lebih dulu
memikat perhatian kira-kira 3,000 penonton apabila menguji penjaga gol
kebangsaan, Zuraimi Hassan pada minit ke-14.
Petanda buruk buat Tok Gajah
akhirnya menjadi kenyataan. Pada minit ke-24, sesudah mengintai kelekaan
benteng Pahang Sapian berjaya memecah kebuntuan dengan jaringan sulung
Terengganu.
Hasil hantaran lambung
Hairuddin Omar dari sebelah kanan, Sapian menyambut tepat sebelum merembat
menembusi kawalan Zuraimi.
Belum pun sempat memulihkan
semangat Pahang kian merana tiga minit kemudian.
Menerusi sepakan kencang jarak
kira-kira 30 meter, Armi Shariff pula memimpin skuad Penyu mara dengan gol
kedua.
Ketika babak kedua berusia dua
minit, insiden buruk muncul mencemari perlawanan hingga memaksa kedua-dua
pasukan bermain dengan sepuluh orang.
Pemain Pahang, Anuar Jusoh dan
pemain Terengganu Rosli Omar masing-masing dilayangkan kad merah oleh pengadil
S. Selearajan selepas satu perebutan bola yang agresif.
Terengganu berpeluang menambah
jaringan pada minit ke-68 tetapi Halim Jantan mensia-siakan peluang walaupun
Zuraimi sudah tertewas.
Minit ke-82 menyaksikan Zuraimi
buat kali ketiga menghampakan penyokong tuan rumah. Halim Jantan mengutip bola
sebelum melepaskan rembatan untuk gol ketiga Terengganu.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4TG1ApFmN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan