Ahad, 11 Disember 2016

Terengganu lega menang

ARKIB : 11/11/1999
KEMENANGAN 2-0 ke atas Perlis melegakan Terengganu kerana layak ke separuh akhir Piala Malaysia tetapi hajat tersebut tercapai selepas skuad ''Penyu'' mengidam kedudukan tangga teratas kumpulan A.

Jurulatih Yunus Aliff memberitahu, Terengganu sememangnya mempunyai dua matlamat iaitu layak ke separuh akhir Piala Malaysia di samping menjadi pendahulu kumpulan.

''Akhirnya, saya lega kerana hajat untuk ke separuh akhir dan menduduki tangga teratas kumpulan tercapai selepas kita menewaskan Perlis,'' kata beliau selepas berakhir perlawanan di antara Terengganu dengan ''Singa Utara'' di Stadium Utama, Kangar, kelmarin.

Ditanya apakah kedudukan tangga teratas untuk mengelakkan bertemu Brunei yang mendahului kumpulan B, Yunus menafikannya sambil menjelaskan bahawa juara kumpulan penting dalam usaha mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Malaysia.

''Sebenarnya, kedudukan tangga teratas penting kerana lebih cepat ke separuh akhir jika kita mencapai kemenangan sebelum berakhir saingan peringkat kumpulan,'' tambah beliau.

Mengenai perlawanan kelmarin, Yunus memberitahu, pemainnya mampu mengimbangi corak permainan Perlis yang juga ingin mencipta kemenangan buat mencerahkan peluang ke peringkat tersebut.

Bagaimanapun, kata beliau, Perlis memberikan saingan getir terutama dalam separuh masa kedua selepas ''Singa Utara'' ketinggalan satu jaringan.

''Saya akui, Terengganu menghadapi tekanan daripada Perlis selepas Hairuddin menjaringkan gol pertama sehinggalah dia memperoleh gol kedua dalam minit-minit terakhir permainan, barulah agak lega.

''Barisan pertahanan kita juga kental malam ini (kelmarin) termasuk Abdul Ghani Malik dan Anuar Jusoh yang berjaya memberikan aksi memberangsangkan,'' katab Yunus.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4SbIrxzlf © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan