Rabu, 14 Disember 2016

Tidak ramai pemain tinggalkan Penyu

ARKIB : 02/01/2000
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu semalam menafikan perpindahan pemain secara besar-besaran berikutan meletakan jawatan Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh sebagai Setiausaha Kerajaan Terengganu.

Setiausaha PBSNT Abdullah Salleh berkata, pemain-pemain masih setia dan akan bersama Terengganu tahun ini.

''Sebenarnya tidak pernah berlaku perpindahan beramai-ramai, kalau adapun hanya seorang dua sahaja pemain akan berhijrah,'' katanya sebagai mengulas laporan akhbar kononnya berlaku perpindahan beramai-ramai pemain Terengganu musim ini.

Abdullah berkata setakat ini PBSNT telah melepaskan Wan Ahmad Ridzuan dan Badrul Afzan Razali atas kehendak pemain itu sendiri walaupun tempoh kontrak mereka berakhir penghujung tahun ini.

Beliau berkata, Anuar Jusoh, Tay Sin Kiat dan Baharuddin Ali juga dilepaskan kerana kontrak mereka tamat pada akhir Disember lepas.

Abdullah juga menafikan kononnya Sapian Wahid, pemain yang berasal dari Melaka akan berhijrah ke Sarawak untuk mengikuti jejak abangnya, penjaga gol dan ketua pasukan Bujang Senang, Mazlan Wahid.

Beliau berkata, Sapian tetap akan bersama Terengganu musim ini bersama-sama pemain yang lain seperti A. Ganesan, Abdul Ghani Malik, Rosli Omar, Syamsol Saad dan Rosdi Talib.

''Layanan PBSNT ke atas pemain-pemain tidak akan berubah walaupun kerajaan negeri Terengganu sekarang ini diterajui oleh PAS,'' kata Abdullah.

Katanya akhbar sepatut tidak memainkan isu seperti itu kerana ia boleh mencemaskan pemain dan menyusahkan persatuan.

Abdullah juga menolak dakwaan kononnya PBSNT tidak menjelaskan wang pemain. - Bernama
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SnvyDtmR

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan