ARKIB : 30/10/1999
PENDAHULU kumpulan A bola sepak
Piala Malaysia, Terengganu berazam memastikan pasukan itu dapat mengutip mata
penuh pada pertemuan dengan Pulau Pinang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin
Shah, Kuala Terengganu, malam ini.
Bagi skuad Penyu itu,
kemenangan menentang Pulau Pinang akan menjadikan Terengganu berada di
kedudukan selesa bagi menempah tempat ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia
seterusnya.
Oleh itu, Terengganu akan
menurunkan kebanyakan kesebelasan utamanya bagi memastikan kemenangan dicapai,
tambahan pula para pemain yang cedera sebelum seperti Sapian Abd. Wahid
dikatakan sudah boleh beraksi semula.
Pengurus Pasukan Penyu, Datuk
Che Mat Jusoh berkata, dalam pertemuan semalam, Terengganu tidak akan
menganggap penyerang Pulau Pinang, Azman Adnan sebagai wira utama yang perlu
diberi perhatian utama berbanding pemain Pulau Pinang yang lain.
''Kita tidak akan memberi
kawalan khas kepada Azman Adnan berbanding pemain yang lain...sebaliknya semua
pemain Pulau Pinang akan dikawal rapi. ''Tambahan pula, semua pertahanan
Terengganu boleh silih berganti mengawal Azman Adnan.
''Terengganu juga tidak
menganggap Azman Adnan sebagai ancaman utama kepada Terengganu kerana setiap
pemain Pulau Pinang kita anggap sama sahaja,'' katanya kepada pemberita di
Kuala Terengganu, semalam.
Che Mat juga berharap para
pemainnya tidak melakukan kesilapan besar kerana ia boleh mengakibatkan pasukan
Pulau Pinang mendahului Terengganu.
''Pemain Terengganu akan terus
bermain seperti biasa dan jika dalam pertemuan lalu Terengganu kecundang 1-5
pada Pulau Pinang, tetapi malam ini kita juga boleh mengubah nasib dengan
menewaskan Pulau Pinang,'' katanya.
Di samping itu, beliau meminta
para penonton supaya jangan cepat mengejek atau memarahi para pemain Terengganu
yang melakukan kesilapan.
Menurutnya, perbuatan penonton
itu boleh menjejaskan permainan pemain sepanjang 90 minit beraksi
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SXX4Dri4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan