ARKIB : 17/10/1999
TERENGGANU mengaibkan Selangor
dengan kemenangan 3-1 pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Shah
Alam, semalam.
Terengganu kini melonjak dari
tangga keempat setelah mengumpul sembilan mata daripada perlawanan kelimanya.
Sedangkan Selangor terus
dirundung luka parah sesudah dibelasah 0-5 oleh Pulau Pinang di Stadium
Bandaraya, minggu lalu.
Kekalahan ketiga Selangor ini
turut mengekalkannya di tangga tercorot kumpulan dengan cuma mengutip lima
mata.
Pada minit ke-13, Terengganu
yang cuba memecahkan kebuntuan melakukan serangan, tetapi nyata gagal membuah
hasil apabila rembatan Mat Zahir Wahab pula melepasi palang gol.
Begitupun, gandingan penyerang,
Hairuddin Omar dan Sapian Abdul Wahab tidak menghampakan apabila mereka berjaya
membolosi gawang Selangor untuk gol pertama pasukan itu.
Hairuddin yang tidak dikawal
kemas, mudah melorongkan bola untuk disempurnakan oleh Sapian, sekali gus
menewaskan penjaga gol Selangor, Amirrul Zain Ismail.
Pasukan tuan rumah, Selangor
bangkit di babak kedua dengan corak permainan lebih agresif dan berjaya mendapatkan
gol penyamaan pada minit ke-48.
Usaha ketua pasukan, Zainal
Abidin Hassan melakukan hantaran cantik di depan pintu gol nyata tidak sia-sia
apabila bola berjaya dirembat masuk oleh Lim Chan Yew.
Pada minit ke-63, K.
Sanbagamaran nyaris menambah gol untuk tuan rumah, tetapi hasratnya dinafikan
penjaga gol Terengganu, Zubir Ibrahim yang pantas menepis keluar bola
rembatannya.
Terengganu yang terus memburu
gol akhirnya kembali mendahului menerusi gol kedua jaringan Hairuddin yang
menerima hantaran cantik pemain gantian, Rosli Omar pada minit ke-77.
Kedatangan Terengganu ke
stadium keramat Selangor itu akhirnya membawa padah apabila pasukan pelawat
berjaya meraikan gol ketiga pada minit ke-84 jaringan A. Ganeson selepas
berlaku pergelutan di depan pintu gol.
SELANGOR: Amirrul Zain Ismail
(1), Shamsul Amri Abu Bakar (3), Mat Zahir Wahab (8) (Fareed Shah Hassan - 7),
K. Sanbagamaran (12), Lim Chan Yew (13), Assrof Mohd. Hanafiah (15) (Jaafar
Salleh - 25), Kamarulzaman Yop Majid (16), Zainal Abidin Hassan (17), Nazzab
Hidzan (18), Paidiya Rau (20), Abdul Rauf Ahmad (21).
TERENGGANU: Roshadi Wahab (2)
(Rosli Omar - 3), Abd. Ghani Malik (5), Mohd. Zulfakri Ashaari (6) (Mohd. Rafdi
Abd. Rashid - 18), Syamsol Mohd. Saad (7) (Zulharisham Awang - 14), Sapian Abd.
Wahab (8), Hairuddin Omar (10), Mohd. Noor Derus (12), Anuar Jusoh (13),
A.Ganeson (17), Badrul Hisham Abdullah (20), Zubir Ibrahim (21).
Sementara Negeri Sembilan
merebakkan sindrom persembahan tidak menentu buat Pulau Pinang di gelanggang
lawan apabila menewaskan pelawat 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi,
Seremban, semalam.
Ketika tinggal seminit
terakhir, Faizal Zainal merentap kelekaan Pulau Pinang untuk jaringan tunggal
Negeri Sembilan.
Skuad Rusa kini melonjak ke
tangga ketiga dari kelima kumpulan A sambil Pulau Pinang tercicir peranan
teraju yang dipegangnya sebelum ini akibat kekalahan ketiganya itu.
Yang nyata, Pulau Pinang tetap
hanya menyerlah di gelanggang sendiri dan pesta gol membelasah Selangor 5-0 di
Stadium Bandaraya minggu lalu, sekadar suatu catatan lalu yang sulit untuk
diulangi bila muncul di Seremban
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SSFa5OVK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan