Selasa, 29 November 2016

Terengganu mahu bantah

ARKIB : 01/04/1999
PENGURUS pasukan Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh akan mengemukakan bantahan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan pengadil pada perlawanan Terengganu menentang Pahang, kelmarin.

Beliau mempertikaikan keputusan pengadil perlawanan, Amir Sharifuddin Wong Abdullah yang enggan memberikan sepakan penalti kepada Terengganu biarpun Sapian Wahid secara terangan dijatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti Pahang.

Insiden itu berlaku pada beberapa minit terakhir sebelum tamat perlawanan sehingga penyerang tuan rumah itu terpaksa diusung keluar kerana kecederaan. Kedudukan perlawanan ketika itu Pahang mendahului Terengganu 2-1.

Che Mat memberitahu, untuk itu beliau berharap FAM perlu tegas dalam soal tersebut dengan meneliti kewibawaan pengadil terbabit.

Ini kerana jelasnya, ketegasan FAM mengenai perkara itu adalah penting dalam memastikan mutu keselamatan terpelihara ketika perlawanan berlangsung.

Ditanya kekalahan Penyu kepada Tok Gajah malam semalam beliau menambah, pasukan tuan rumah bermain dengan baik menerusi banyak serangan dilancarkan ke kubu lawan terutama selepas Terengganu berjaya menjaringkan gol.

Sementara itu jurulatih Terengganu, Yunus Alif ketika ditanya perkara yang sama berpendapat, beliau mengakui barisan pemainnya banyak melakukan kesilapan.

Katanya, kesilapan pemain dikesan sebaik sahaja Pahang berjaya menjaringkan gol pertamanya pada minit ke-15 perlawanan bermula.

Yunus turut mengakui, semangat pemainnya disentap dengan gol kedua pasukan pelawat seawal minit pertarungan babak kedua menerusi penyerangnya, Wan Rohaimi Wan Ismail.

''Saya sendiri hairan bagaimana gol kedua Tok Gajah diperoleh dan dilihat sebelum itu bola dileretkan dari bahagian tepi ke tengah di depan pintu gol Terengganu.

''Ketika itu saya belum pun sempat duduk di bangku pemain di tepi padang dan melihat Pahang membuat satu lagi jaringan. Itulah bola sepak ia memberi kegembiraan dan juga kedukaan,'' tambah Yunus.

Oleh: RADHUAN HUSSAIN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4RPMX7hvE © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan