ARKIB : 26/05/1999
KEKECEWAAN Terengganu tewas
kepada Pahang dalam Liga Perdana Satu tempoh hari berjaya ditebus selepas
menang selesa 2-0 ke atas Kelantan pada perlawanan suku akhir pertama bola
sepak Piala FA di Kuala Terengganu, semalam.
Skuad tuan rumah yang
seolah-olah tidak rela diaibkan di depan penonton sendiri membuat sepak mula
dengan asakan bertubi-tubi di semua penjuru untuk mencari jaringan.
Pada awal babak pertama
menyaksikan pemain bimbingan jurulatih Yunus Alif itu lebih bertindak garang
bagi mendapatkan modal sebelum bertandang di Kota Bharu 1 Jun.
Sekalung pujian dihadiahkan
kepada penjaga gawang Kelantan, Mohd. Ridzuan Bulat yang berjaya menangkis
setiap cubaan barisan serangan skuad Penyu.
Asakan berterusan dipamerkan
pemain tuan rumah melalui Mohd. Noor Derus, Sapian Wahid, Anuar Jusoh, Rosli
Omar namun cubaan itu dinafikan Mohd. Ridzuan.
Sehingga pada minit ke-44 babak
pertama, gol yang dicari-cari pasukan tuan rumah akhirnya terhasil menerusi
jaringan Anuar Jusoh yang merembat bola ke sudut kiri gol umpanan Hairuddin
Omar.
Gol itu semakin menyemarakkan
lagi aksi permainan sehinggalah berakhir separuh masa pertama dengan kedudukan
Terengganu mendahului Kelantan 1-0.
Separuh akhir kedua bermula
dengan barisan pemain pelawat lebih menyengat menguasai permainan terutama pada
10 minit pertama untuk mencari gol penyamaan.
Zubir Ibrahim yang jarang diuji
sempat menampan rembatan kencang penyerang Kelantan, Adli Daud pada minit ke 19
yang nyaris membuat kejutan kepada tuan rumah.
Bagi memastikan kedudukan
Terengganu menjadi lebih selesa sebelum beraksi pada perlawanan pusingan kedua
nanti, Yunus Alif bernasib baik kerana membuat percaturan tepat dengan mengubah
strategi posisi pemain ekoran pertukaran Roshadi Wahab menggantikan Hairuddin.
Berikutan pertukaran itu, Mohd.
Noor Derus yang memikul tugas Hairuddin tidak sampai dua minit berjaya
menyempurnakan peluang untuk menyepak masuk bola ke gawang Kelantan hasil
hantaran sudut Rosdi Talib pada minit ke-77.
Gol kedua tuan rumah kian
membangkitkan semangat para pemain membuat asakan dengan sesekali diserang
balas pasukan lawan sehinggalah tamat perlawanan yang berkesudahan Terengganu
menang 2-0.
Sementara itu di Stadium Sarawak,
Kuching, pasukan tuan rumah menarik nafas lega apabila berjaya melenyapkan
cabaran Kuala Lumpur dengan kemenangan tipis 1-0, lapor ANUAR ARIFFIN.
Gol tunggal skuad Bujang Senang
diperoleh melalui Ramles Sari pada minit ke-12 yang bertindak pantas menyudahkan
bola tandukan Ali Sapiee yang terkena palang gol.
Kejayaan itu turut menguburkan
hasrat skuad warga kota yang mahu bertindak balas selepas dibelasah teruk 1-5
oleh Sarawak dalam saingan liga, dua minggu lalu.
Kemenangan itu juga mengubat
luka Bujang Senang yang kecundang 1-2 kepada juara Piala Malaysia, Perak, Sabtu
lalu.
Beraksi di atas padang yang
agak licin kerana hujan pada sebelah petang, kedua-dua pasukan mempamerkan
permainan yang berhati-hati ketika melakukan serangan.
Namun begitu, ia tidak menjadi
halangan pasukan tuan rumah untuk melancarkan asakan bertali arus di hadapan
hampir 5,000 penonton dalam usaha mencari jaringan awal.
Beberapa percubaan yang
dilakukan oleh Ramles Sari, Ramos Sari, Safri Amit dan Mohd. Ali Sapiee gagal
menembusi kekentalan benteng pertahanan Kuala Lumpur yang diterajui ketua
pasukan, P. Saravanan.
Dua tendangan sudut yang
diperoleh Bujang Senang pada minit keenam dan ketujuh gagal membuahkan hasil
tetapi hadiah tendangan sudut ketiga minit ke-12 mengubah kedudukan perlawanan.
Bola sepakan sudut yang diambil
Ramos berjaya ditanduk Ali ke arah gawang tetapi terkena palang gol sebelum
Ramles yang berada pada posisi terbaik menguis bola itu masuk menewaskan
penjaga gol Kuala Lumpur, Kamarul Idham Amiruddin.
Biarpun ketinggalan 0-1, Kuala
Lumpur tidak mudah putus asa malah bersemangat mencari ruang untuk menyamakan
kedudukan.
Penyerang Mohd. Farid Dewan,
Nizaruddin Yusop, Mohd. Khairi Zainudin dan Azlan Meri bertindak licik dalam
mengucar-ngacirkan barisan pertahanan Bujang Senang yang dibarisi Roslan
Ismail, Samsul Napiah dan Bobby Chua.
Babak kedua perlawanan
menyaksikan kedua-dua pasukan terus berusaha mencari ruang untuk menghasilkan
gol.
Oleh: RADHUAN HUSSAIN dan ANUAR
ARIFFIN
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RmLuleid
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan