Rabu, 14 Disember 2016

Sharil hampir pasti tandatangani kontrak dengan Terengganu

ARKIB : 10/01/2000
BEKAS pemain tengah Pulau Pinang, Sharil Arsat dijangka menandatangani kontrak persetujuan menyertai Terengganu dalam Kejohanan Bola Sepak Liga Perdana musim ini.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Abdullah Salleh berkata, pemain berasal dari Selangor itu sepatutnya menandatangani kontrak minggu lepas tetapi dibatalkan.

''Sharil tidak dapat datang ke Kuala Terengganu minggu lepas kerana masalah teknikal,'' katanya.

Abdullah berkata, dua pemain lain yang berminat menyertai Terengganu telahpun menandatangani kontrak persetujuan minggu lepas iaitu Halim Jantan (Negeri Sembilan) dan Alif Rohaimi (Pahang).

Menurut beliau, kehadiran ketiga-tiga pemain berpengalaman itu akan memberi nafas baru kepada Terengganu yang berazam untuk menjadi juara Liga Perdana dan Piala Malaysia musim ini.

Abdullah berkata, majlis menandatangani kontrak pemain mungkin diadakan selepas pemilihan pemain-pemain baru dijalankan 18 Januari ini.

Beliau berkata Terengganu masih mencari beberapa orang lagi pemain bagi mencukupkan kuota 25 pemain untuk menghadapi Liga Perdana yang dijangka lebih sengit dan mencabar berikutan pertambahan pasukan.

''Kita menyambut baik sekiranya ada pemain-pemain yang berminat untuk menabur bakti di negeri ini,'' katanya.

Abdullah memberi jaminan perubahan tampuk pemerintahan kerajaan negeri selepas pilihan raya 29 November lepas tidak akan menjejaskan pemain-pemain dan sukan itu di negeri ini malah ia tetap berjalan seperti biasa.

Beliau juga memberi jaminan Datuk Che Mat Jusoh akan tetap kekal sebagai pengurus pasukan Terengganu tahun ini. - Bernama


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4Sp9NKH5k © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan