ARKIB : 08/07/1999
TERENGGANU perlu mengikis badi
penalti yang sudah dua kali menghampakannya apabila membuka tirai play-off bola
sepak Piala Malaysia, bulan depan.
Jurulatih skuad Penyu, Yunus
Alif mengakui, kegagalan dalam penentuan penalti pada perlawanan akhir Piala
Malaysia tahun lalu dan Piala FA, baru-baru ini masih lagi menghantui
pemainnya.
''Saya tidak merasakan adanya
tekanan kepada pasukan untuk turut cemerlang pada play-off Piala Malaysia
sebagaimana kemampuan kami melangkah ke perlawanan akhir Piala FA.
''Cuma penentuan penalti
mungkin masih menjadi penghalang kami terutama apabila tiba saat genting,''
kata Yunus selepas majlis undian kedudukan kumpulan play-off Piala Malaysia.
Terengganu cuma bergelar naib
juara Piala FA setelah kecundang kepada Kuala Lumpur menerusi sepakan penalti,
terpaksa bermain pada play-off kumpulan B untuk merebut dua tempat ke Piala
Malaysia.
Menjadi lawan skuad Penyu yang
menduduki tangga kelapan Perdana Satu dalam kumpulan B play-off ialah juara
bertahan Piala Malaysia, Perak, Johor FC dan Melaka.
Sekalipun dianggap pasukan
pilihan, Yunus masih merasakan laluan anak buahnya dalam kumpulan ini sebagai
getir lagi berliku dengan Perak dan Johor FC selaku penghalang utama.
''Malah saya juga tidak
memperkecilkan kemampuan Melaka,'' katanya yang memikul tugas berat untuk
mengulangi pencapaian Terengganu yang muncul naib juara Piala Malaysia di bawah
bimbingan jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim.
Sementara itu, sebarang
perubahan atau pengekalan format persaingan Liga Perdana musim depan, hanya
akan diketahui pada mesyuarat majlis Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), 25
Julai ini.
Pengerusi Jawatankuasa
Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata, hanya mesyuarat
tersebut dapat memberikan jawapan tepat terhadap format yang dianggap
mengelirukan banyak pasukan itu.
Format ketika ini dikatakan
bakal memaksa juara Perdana Satu tanpa diduga terjerumus ke Perdana Dua musim
depan jika beraksi hambar hingga menduduki tangga tercorot pada Piala Malaysia
musim ini.
Kekeliruan turut timbul tentang
cara kenaikan atau penurunan bahagian pasukan yang terlibat setelah FAM
menambah penyertaan Piala Malaysia kepada 12 pasukan musim ini, berbanding 10
musim lalu.
Aksi liga musim depan juga
dikatakan, mahu menyatukan kesemua 20 pasukan dalam satu bahagian sahaja sekali
gus membubarkan pecahan Perdana Satu dan Dua.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4S3I2YERK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan