Rabu, 9 November 2016

Perak, Terengganu hampiri Bukit Jalil


 

ARKIB : 23/11/1998
Perak, Terengganu hampiri Bukit Jalil
SEIDI Issifu dan pemain skuad Terengganu yang lain diberi sambutan meriah sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu semalam. Terengganu menumpaskan Sabah 2-0 di separuh akhir pertama Piala Malaysia di Likas, kelmarin. - Gambar ABDUL RAHMAN SALEH.

ATAS kertas, Sabah dan Negeri Sembilan dikatakan tidak menghadapi masalah untuk masing-masing menang perlawanan pertama separuh akhir bola sepak Piala Malaysia. Kedua-dua pasukan ini menjadi pilihan untuk ke akhir.

Namun di atas padang kelmarin, segala telahan itu jelas tidak ada ketepatannya.

Sabah dan Negeri Sembilan sebaliknya berada pada situasi genting, dan masing-masing bakal bertandang ke tempat lawan Sabtu ini untuk perlawanan timbal balik, dengan membawa rasa cemas di dada.

Lain pula dengan Terengganu dan Perak yang kini sudah memasang angan untuk mencipta nama sebagai finalis baru bagi kempen edisi ke-33 ini yang bakal berlangsung 12 Disember depan.

Kekalahan mengejut Sabah di tangan Terengganu di Stadium Likas kelmarin, jelas menunjukkan betapa kelebihan beraksi di tempat sendiri belum tentu memberikan kejayaan mutlak.

Rekod tanpa kalah dalam kempen Piala Malaysia ini yang cuba dipertahankan Sabah akhirnya lebur di bumi sendiri dilanyak Penyu yang nyata ghairah memburu kejuaraan pertama mereka.

Jelas di sini, anak-anak buah Abdul Rahman Ibrahim tidak puas dengan kejayaan muncul juara Divisyen Dua tetapi mahukan lebih daripada itu.

Piala Malaysia kini menjadi buruan mereka selain mencipta nama sebagai pasukan pertama yang beraksi pada perlawanan akhir di gelanggang baru, Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Mungkin susunan strategi, taktik dan teknik permainan pasukan yang dipersembahkan Abdul Rahman, yang bakal membawa pasukan kebangsaan selepas kempen ini, kena pada tempatnya.

Sentuhan bekas jurulatih Perlis musim lalu itu seolah-olah memberitahu bahawa amalan seumpama itu bakal diterapkan dalam pasukan kebangsaan bimbingannya kelak.

Sebaliknya, Sabah nampak terlalu yakin dapat menundukkan lawannya itu berbekalkan kejayaan membenam Brunei 6-0 pada perlawanan terakhir kumpulan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PVphAKxM © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan