ARKIB : 04/03/1999
PARA pemain skuad Penyu perlu
meningkatkan kesungguhan dalam usaha mengejar kegemilangan pada Liga Malaysia
1999 yang akan bermula 20 Mac ini.
Jurulatih Terengganu, Yunus
Alif yang mengakui masih wujud beberapa kelemahan dalam pasukan bagaimanapun
berkata, beliau setakat ini berpuas hati dengan prestasi pemain, lapor RADHUAN
HUSSAIN.
Katanya, kesemua pemain kini
hebat bersaing bagi merebut tempat dalam senarai kesebelasan utama menjelang
perlawanan pertama pasukan itu bertemu Kedah di Kuala Terengganu, 20 Mac ini.
Jurulatih itu juga menyebut,
beliau sedang mengenal pasti seorang pemain untuk memikul tugas sebagai
penjaring selain memastikan ketajaman jentera serangan memecah kubu lawan.
''Kita ada empat pemain untuk
diberi peranan sebagai penyerang utama iaitu Wan Ahmad Ridzuan Hussin, Sapian
Wahid dan dua bekas pemain skuad Olimpik 2000, Khairuddin Omar serta Nafuzi
Omar,'' katanya di Kuala Terengganu semalam.
Menyentuh perlawanan
persahabatan Terengganu menentang Pahang di Kuantan kelmarin, Yunus
memberitahu, beliau berpuas hati biarpun skuad bimbingannya tewas 0-1.
Gol kemenangan tuan rumah
dijaringkan oleh Azizul Kamaruddin pada minit ke-86 sebelum permainan tamat.
Sementara itu, skuad Penyu akan
melayani pasukan Tok Gajah pada perlawanan persahabatan kedua di Stadium Sultan
Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Sabtu ini pukul 8.45 malam.
Selepas itu, Terengganu akan
mengharungi satu lagi perlawanan persahabatan menentang skuad Olimpik 2000 pada
12 Mac ini di waktu dan tempat yang sama.
Tiket berharga RM3 dikenakan
untuk setiap kali perlawanan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Q4c2XrJc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan