ARKIB : 06/12/1998
TEMPOH rehat seminggu bagi
meredakan tekanan yang membelenggu sewaktu kancah separuh akhir sudah berakhir
buat pemain Terengganu.
Ketenangan fikiran membuang
segala kesilapan dan kelemahan yang terpapar sewaktu berdepan dengan Sabah
seharusnya luput dari ingatan pemain.
Kini lembaran baru perjuangan
yang lebih getir menanti barisan Terengganu dengan bermatlamat untuk
mengetepikan saingan Perak bagi ditabalkan selaku juara buat pertama kali.
Terengganu hanya berbangga mara
ke perlawanan akhir sebanyak dua kali sebelum ini. Namun hajat meraih gelaran
dinafikan kedua-duanya oleh Selangor apabila tewas 1-2 pada 1973 dan 1982 tewas
0-1.
Mulai esok barisan yang akan
beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia Edisi ke-32 di Stadium Nasional
Bukit Jalil 12 Disember ini kembali menjalani latihan rapi.
Kini jurulatih Abdul Rahman
Ibrahim mahu menggunakan masa yang begitu singkat menjelang perlawanan akhir
untuk membuat percaturan 'bagaimana hendak menjadi juara'.
''Masa berseronok buat pemain
juga sudah berakhir dan Isnin ini segala perancangan untuk berdepan dengan
Perak akan mula diatur.
''Saya tidak mahu pemain
terlalu dibebankan dengan pelbagai andaian dalam perlawanan akhir. Saya mahu
mereka anggap ia sebagai perlawanan biasa,'' jelas Abdul Rahman ketika ditemui
di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Jelasnya, latihan mengekalkan
tahap kecergasan dijalankan seperti lazimnya di samping perbincangan secara
terbuka dengan pemain akan diadakan.
''Saya akan menganalisi dan
memperhalusi corak permainan Perak sewaktu bertemu dengan Negeri Sembilan
menerusi pita video rakaman separuh akhir yang lalu.
''Pemain juga akan turut
menonton rakaman itu selain saya akan berbincang dengan mereka, apa yang patut
dilakukan untuk menyekat setiap gerakan Perak,'' katanya.
Tambahnya, tumpuan utama adalah
bagaimana hendak menyekat pergerakan Perak.
''Perak di bawah jurulatih Karl
Heinz Weigang jelas adalah sebuah pasukan yang cukup mantap. Mereka beraksi
tanpa Laszlo Repasi tetapi mampu untuk menyekat Negeri Sembilan daripada
menang.
Biarpun jurulatih kebangsaan
itu enggan memberi sebarang komen sama ada kesebelasan yang sama sewaktu
menewaskan Sabah di separuh akhir bakal diturunkan, namun Rahman memberi
jaminan kesebelasan utama 12 Disember ini adalah yang paling mantap dan ampuh.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4Pbrz4ntN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan