ARKIB : 30/11/1998
LIM SENG KONG tanpa berbaju
berlari mengelilingi padang selepas jaringan emasnya pada minit ke-97 membantu
Perak menewaskan Negeri Sembilan untuk layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia
yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, 12 Disember ini.
DATUK Raja Ahmad Zainuddin Raja
Omar dan Abdul Rahman Ibrahim mendapat mandat menggembleng tenaga menaikkan
semula martabat bola sepak negara namun masing-masing bakal menjadi musuh dalam
perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-32 di Stadium Nasional Bukit Jalil 12
Disember ini.
Sebagaimana ilham kedua-duanya
untuk skuad bola sepak kebangsaan bernafas baru begitu juga akan dilakukan
apabila beraksi di perlawanan akhir nanti.
Buat Perak dan Terengganu
masing-masing nyata dahagakan kejayaan selepas sekian lamanya tidak menjulang
piala berprestij yang selalunya didominasi oleh Selangor dan Singapura.
Buat pertama kalinya Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) mampu mengukir senyum stadium yang dulunya sepi
ketika aksi awal liga dan kempen Piala Malaysia, kini kembali ceria setiap
ruang di Stadium Perak dan Sultan Ismail Nasiruddin Shah kembali menambat penonton
malam kelmarin.
Namun perlawanan separuh akhir
kedua malam kelmarin nyata berlangsung dalam suasana penuh debar dengan
aksi-aksi menarik menjelaskan betapa kehebatan Terengganu dan Perak wajar
diiktiraf untuk beraksi di final.
Terengganu jelas paling selesa
melangkah dengan penuh bergaya ke akhir berbanding Perak.
Berbekalkan kemenangan 2-0 di
Likas dan mereka nyata sukar disekat apabila dua gol lagi menyusul menerusi
jaringan Samuel Chebli dan Badrulhisham Abdullah membenam Sabah buat memastikan
kemaraan ke akhir selepas 16 tahun.
Abdul Rahman yang akan
memulakan tugas selaku jurulatih kebangsaan tahun depan, sudah pastinya mahu
Terengganu menggamit kemenangan pertama mencipta sejarah memahatkan nama
menjulang Piala Malaysia.
Mereka sekadar dijulang selaku
naib juara apabila tewas 1-0 kepada Selangor dalam perlawanan akhir di Stadium
Merdeka, Terengganu pastinya mengharapkan Stadium Nasional Bukit Jalil bakal
memahat sejarah yang sekian lama dinantikan.
Buat Perak pula terpaksa
memerah segala keringat selain sokongan padu penyokong sendiri hanya jaringan
'emas' jaringan Lim Seng Kong di masa tambahan sudden-death memastikan kejayaan
ke final.
Ternyata Negeri Sembilan bukan
lawan yang mudah untuk diperbudakkan biarpun masing-masing terikat 2-2 pada
kempen pusingan pertama di Paroi.
Namun nasib jelas memihak
kepada Perak untuk beraksi di akhir dan kali terakhir mendakap gelaran itu pada
1970 ketika menang 2-0 ke atas Kelantan.
Dengan tempoh rehat selama dua
minggu membolehkan kedua-dua pasukan membuat persiapan rapi hadapi memburu
gelaran Piala Malaysia musim '98.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PbNfxz51
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan