Ahad, 6 November 2016

Tanpa Sapian tidak jejaskan Terengganu

ARKIB : 04/11/1998
Tanpa Sapian tidak jejaskan Terenggaun
SKUAD Terengganu akan terus berjuang menempatkan diri ke peringkat akhir Piala Malaysia walaupun seorang daripada barisan penyerangnya, Sapian Abdul Wahid kini sedang menjalani rawatan di Hospital Kuala Terengganu (HKT).

Malah, pasukan penyu itu menganggap ketiadaan Sapian bukan sekali-kali bermakna perjuangan Terengganu sudah berakhir.

Pengurus pasukan Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh berkata, beliau akan berbincang dengan jurulatih Abdul Rahim Ibrahim untuk membentuk barisan serangan ekoran ketiadaan Sapian.

Sapian dimasukkan ke HKT pada malam Sabtu lalu setelah mengalami patah tulang tengkuknya sebaik sahaja berjaya menewaskan Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, Kuala Terengganu.

Kecederaan dialami ketika Sapian dikatakan bergelut di depan gawang gol Kuala Lumpur.

Che Mat menambah, pada masa ini pihaknya menyerahkan kepada pakar rawatan untuk menentukan keadaan Sapian.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkin Sapian tidak dapat diturun pada penghujung musim ini, sebaliknya hanya dapat berakhir pada musim liga tahun depan.

''Terengganu masih mempunyai beberapa penyerang untuk mengambil tempat Sapian, antaranya Wan Ahmad Ridzuan, Mohd. Nazreen Tee, Baharuddin Ali dan Subri Sulong.

''Sejak awal musim latihan lagi, kita telah membentuk para pemain yang pelbagai dan mereka ini boleh alternatif kepada para pemain yang cedera...oleh itu ketiadaan Sapian tidak menjejaskan pasukan Terengganu.

''Mungkin Terengganu akan membuat perubahan strategi...ini akan dibincangkan dengan jurulatih,'' katanya ketika ditemui melawat Sapian di HKT di sini semalam.

Pasukan Terengganu akan berkunjung ke Pulau Mutiara untuk menentang Pulau Pinang pada 7 November dan bertemu Negeri Sembilan di Kuala Terengganu pada 14 November.

Sementara itu, Setiausaha PBSNT, Abdullah Salleh berkata, sambutan peminat itu dapat mengambalikan zaman kegemilangan bola sepak negeri seperti paad tahun 1970an.

Beliau berkata, pada perlawanan Piala Malaysia yang menyaksikan pertemuan Terengganu dan Kuala Lumpur di Kuala Terengganu Sabtu lepas, ada antara peminat terpaksa membeli tiket ''pasaran gelap'' untuk menyaksikan perlawanan itu.

''Kita merasa amat bangga kerana para peminat bola sepak negeri ini telah mula kembali ke stadium,'' katanya ketika ditanya mengenai perkembangan bola sepak Terengganu.

Abdullah berkata, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, yang sebelum ini sering lengang apabila ada sesuatu perlawanan, kembali bergema dengan sorakan para peminat terutama ketika Terengganu membelasah pasukan lawan.

Abdullah berkata, perlawanan Sabtu lepas menyaksikan peminat memberi sambutan paling hangat sehinggakan kedudukan sesak dalam stadium yang mampu menampung 10,000 penonton itu.

Beliau berkata pada malam itu, ramai peminat bola sepak tidak dapat membeli tiket RM7 dan terpaksa membeli daripada ''ulat tiket'' yang menjualnya pada harga RM10.

Menurutnya sokongan moral peminat itu dapat membantu meringankan beban kewangan persatuan dalam menguruskan pasukan negeri.

Abdullah berkata, PBZSNT akan cuba membentuk pasukan terbaik dalam menghadapi pertandingan Liga Perdana pada masa depan sesuai dengan kemahuan para peminat.

Setiausaha Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (Peteh) Wan Mohd Azmi Wan Ngah pula berkata, pihaknya akan membawa para peminat bola sepak Terengganu untuk menyaksikan perlawanan Terengganu-Pulau Pinang, di padang pasukan lawan Sabtu ini.

Beliau berkata, orang ramai yang berminat mengikuti rombongan itu boleh mendaftar dengan Peteh di tingkat bawah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah mulai sekarang.

Oleh: AMIR SARIFUDIN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PDMkClTq © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan