Selasa, 15 November 2016

Penyu guna bekas pemain Pahang

ARKIB : 08/03/1999
TERENGGANU mungkin mendapatkan khidmat bekas pemain Liga Perdana Pahang bagi memperkuatkan cabaran pasukan itu menghadapi pertandingan bola sepak Liga Malaysia musim ini, lapor RADHUAN HUSSAIN.

Badaruddin Osman, bekas penyerang Tok Gajah selama dua musim itu mungkin diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Penyu pada perlawanan ujian terakhir pasukan itu menentang skuad Olimpik 2000 di Kuala Terengganu 12 Mac ini.

Jurulatih Terengganu, Yunus Alif berkata, pemain kelahiran Terengganu itu turut akan diuji dalam beberapa sesi latihan terakhir menjelang perlawanan persahabatan melawan skuad Olimpik 2000 Jumaat ini.

Beliau memberitahu, sekiranya terpilih, Badaruddin akan diletakkan di posisi penyerang dalam membantu Penyu mencari seorang pemain yang berkebolehan bertindak sebagai striker utama.

''Terengganu ketika ini menghadapi masalah ketandusan penyerang berkaliber dan kita akan usahakan untuk itu bagi memperkuatkan pasukan menghadapi liga,'' katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Yunus turut menyebut, beliau telah mengenal pasti kesebelasan utama Terengganu, tetapi buat masa ini senarai nama pemain terpilih itu belum diumumkan.

Jurulatih itu tidak menolak kemungkinan akan menurunkan semua kesebelasan utama tersebut pada perlawanan persahabatan terakhir mereka Jumaat ini.

''Kita juga berpuas hati dengan gandingan mantap dua bekas pemain Olimpik 2000 iaitu Nafuzi Mohd. Zain dan Hairuddin Omar bagi mempertajamkan jentera serangan.

''Bagaimanapun, Nafuzi dan Hairuddin perlu diberi lebih banyak pendedahan kerana mereka agak kurang berpengalaman serta mudah gelabah.

''Namun kita akan beri mereka berdua peluang. Ibarat memakan buah, apabila memetik buah yang putik ia tidak mungkin segera masak dan boleh dimakan,'' ujarnya.

Menyentuh perlawanan persahabatan malam semalam yang berkesudahan Terengganu tewas 0-1 kepada Pahang Yunus menjelaskan, pasukannya diwakili kebanyakan para pemain simpanan.

Ini kerana beliau belum bersedia untuk menurunkan pemain utama antaranya Anuar Jusoh dan Badrul Hisham Abdullah bagi mengelak ditimpa kecederaan menjelang perlawanan sebenar.

''Apa salahnya kita beri peluang kepada pemain simpanan untuk turun beraksi dan jika perlu mereka boleh diserap ke dalam kesebelasan nanti,'' katanya

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Q5aSnrKB © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan