Khamis, 10 November 2016

Weigang guru saya - Rahman

ARKIB : 08/12/1998
TINGGAL tiga hari sebelum perjuangan sebenar perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-32 bermula 12 Disember ini, jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim tetap menghormati kewibawaan Perak di bawah kendalian jurulatih Karl Heinz Weigang.

Weigang bukan lagi terlalu asing buat Rahman yang pernah menimba pengalaman daripada jurulatih berasal dari Jerman itu sewaktu membawa Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow pada 1980.


Ketika itu Weigang selaku jurulatih, manakala Rahman sebagai pembantu kepada jurulatih itu yang mengilhamkan kejayaan membantu Malaysia layak buat kali kedua ke Sukan Olimpik.

''Saya hormati kewibawaan Weigang dan saya juga sifatkan beliau sebagai guru saya. Banyak yang pengalaman yang saya peroleh sewaktu bersama dengan dulu.

''Kerana itu sewajarnya saya menghormati Weigang dengan keupayaannya membawa Perak ke perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu ini,'' ujar Rahman ketika dihubungi, semalam.

Rahman sedar pasukannya berdepan dengan Perak, sebuah pasukan yang boleh dianggap memiliki segala kelebihan selain percaturan mantap Weigang.

Biarpun Perak tidak membariskan pemain bergelar bintang, namun keupayaan menafikan Negeri Sembilan jelas membuktikan akan kekuatan sebenar mereka.

''Strateginya menjadi ketika menentang Negeri Sembilan. Mengekang pasukan itu ketika seri 2-2 dan 0-0 sebelum gol emas menjadi kejayaan.

''Tanpa penyerang Laszlo Repasi dalam kedua-dua perlawanan itu membuktikan Perak mampu bertindak cemerlang dan ini yang seharusnya saya perlu perhatikan

''Lagipun perjuangan mereka juga ketika itu hanya menurunkan Janos Kresca. Ini bermakna strategi Weigang jelas menjadi waktu itu,'' kata Rahman lagi.

Kancah saingan awal memisahkan antara kedua-dua pasukan daripada bertemu ketika Perak bersaing dalam Perdana Satu, manakala Terengganu pula di Perdana Dua.

Namun begitu, jurulatih kebangsaan itu tidak begitu gusar berdepan dengan Perak lawan yang akan menyulitkan tugas anak buahnya.

Katanya, barisan pemainnya sejak kembali menjalani latihan rapi semalam menunjukkan komitmen tinggi dan nampak tenang untuk mengharungi perlawanan akhir Sabtu ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4Pbz2Vds9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan