Khamis, 10 November 2016

Terengganu, Perak ke Bukit Jalil -- Negeri Sembilan, Sabah berputih mata

ARKIB : 29/11/1998
PENTAS saingan akhir Piala Malaysia 12 Disember ini di Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menyaksikan pertembungan menarik Terengganu berdepan dengan Perak selepas masing-masing melepasi halangan getir di pusingan separuh akhir kedua semalam.

Malam yang penuh bermakna dan paling mendebarkan selepas kancah saingan Perdana Satu dan Dua selain kempen awal Piala Malaysia yang pada mulanya malap kembali ceria di kedua-dua stadium.

Begitupun Terengganu juara Perdana Dua merintis jalan mudah menepati ramalan menggamit aksi di pentas perlawanan akhir selepas 16 tahun apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas Sabah dalam saingan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam.

Namun nasib berbeza buat Perak terpaksa berhempas pulas berdepan dengan kedegilan Negeri Sembilan sebelum pemain gantian Lim Seng Kong muncul hero menerusi jaringan 'emas' pada minit ke-96 untuk layak ke final dalam perlawanan di Stadium Perak.

Buat Perak dan Negeri Sembilan sama-sama kuat dan handal menamatkan cabaran 90 minit tanpa jaringan selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam saingan separuh akhir pertama di Paroi.

Aksi masa tambahan sudden-death jelas memihak kepada Perak dengan sepakan jarak jauh Seng Kong biarpun berjaya ditepis oleh penjaga gol lawan Md Yazid Md Yassin namun bola bergolek masuk menggegar jaring.

Ketika pemain Perak berlari mengelilingi padang namun kesebelasan utama Negeri Sembilan tunduk layu merintis kekalahan yang tidak diduga hanya sembilan minit masa tambahan berlangsung.

Kejayaan ini merealitikan impian Perak untuk mara ke akhir selepas kali terakhir muncul juara pada 1970.

Suasana yang begitu tegang di Stadium Perak sebaik Seng Kong meledakkan jaringan menjadi gamat dengan tepukan dan sorakan penyokong tuan rumah yang memenuhi setiap ruang di Stadium Perak.

Kemenangan Terengganu disaksikan di hadapan 18,000 penyokong tuan rumah yang memenuhi setiap ruang stadium melihat Samuel Chebli meledakkan jaringan pada minit ke-26 dan Badrul Hisham Abdullah pada minit ke-89.

Terengganu yang kali terakhir beraksi di final pada 1982 mengesahkan kemaraan dengan penuh bergaya menafikan hajat Sabah menerusi agregat 4-0.

Pada perlawanan separuh akhir pusingan pertama di Likas minggu lepas, Terengganu mencapai kemenangan 2-0 menerusi jaringan Wan Ahmad Ridzuan dan Samuel Chebli.

Perlawanan semalam jelas memihak kepada tuan rumah berbekalkan kemenangan 2-0 mengasak awal sebaik babak bermula.

Begitupun Sabah yang mahu menebus kehampaan turut membuka langkah mencari gol menerusi penjaring terbanyak dengan 11 gol Saphou Lassy namun agak sulit untuk menembusi benteng pertahanan tuan rumah.

Percaturan jurulatih Sabah, Ken Shellito hingga membawa masuk Mohd Jaya Kassim pada babak pertama turut tidak mampu mengubah nasib sebaliknya Terengganu nyata unggul.

Pada minit ke-26, Chebli tidak mensia-siakan peluang yang hadir hasil bola muntah untuk menolak masuk gol pertama Terengganu.

Sabah yang memasukkan Mohd. Jaya Kassim, Jainin Tinin dan Ramlan Selamat masih tidak berupaya menembusi benteng pertahanan tuan rumah.

Begitupun dalam babak kedua corak permainan kedua-dua pasukan agak kurang kemas dalam keadaan padang licin ekoran hujan turun sejak petang.

Perlawanan kedua-dua pasukan yang tegang memaksa pengadil Nazri Abdullah melayangkan tiga kad kuning kepada pemain Sabah iaitu Ramlan Selamat, Jainin Tinin dan Veselin Kovacevic.

Manakala satu kad kuning dilayangkan kepada pemain Terengganu Jean Nyima.

Begitupun di minit-minit babak hendak ditamatkan Terengganu menambah gol kedua menerusi pemain tengah Badrulhisham Abdullah hasil umpanan pemain gantian Baharuddin Ali.

Sementara itu jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim melahirkan rasa terharu dengan kemampuan pemainnya beraksi cemerlang untuk memastikan kejayaan mara ke perlawanan akhir.

''Saya bangga dengan kesungguhan pemain biarpun strategi awal dalam tempoh 10 minit babak awal tidak menjadi namun Sabah tidak mahu menggunakan kesempatan itu,'' katanya.

TERENGGANU: Zubir Ibrahim, Azman Ismail, Jean Nyima, Syamsol Mohd Saad, Badrul Hisham Abdullah, Seidu Issifu, Wan Ahmad Ridzuan (Baharuddin Ali), Anuar Jusoh, Samuel Chebli, Rosdi Talib, Mohd Nor Derus

SABAH: Khairul Azman Mohamad, Andrew Majanggin (Jainin Tinin), Borhan Ajui (Ramlan Selamat), Veselin Kovacevic, Suharmin Yusof (Mohd Jaya Kassim), Dunian Sulog, Spahou Lassy, David Rocastle, Henry Soimpon, Yap Wai Loon, Jelius Ating.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PbKTTuFF 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan