ARKIB : 11/10/1998
PEMAIN Pulau Pinang, Riyadh Abas cuba melepasi benteng pertahanan Terengganu, Jean Nyima (kiri) dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi. Terengganu menang 2-0.
JUARA Liga Perdana Satu, Pulau Pinang terpaksa akur kepada Juara Liga Perdana Dua, Terengganu apabila tewas 0-2 pada pertemuan bersejarah antara dua jaguh itu dalam Piala Malaysia di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
Kedua-dua pasukan yang turun beraksi bagi menentukan pencapaian rekod tersendiri mampu memperlihatkan aksi hebat dengan saling mengasak ke kubu lawan dari mula perlawanan hingga akhir.
Pemain import sensasi skuad Penyu, Seidu Issiffu yang sebelum perlawanan dianugerahkan kasut emas sebagai penjaring terbanyak (10 gol) setakat ini disifatkan sebagai suntikan semangat untuk menjaringkan gol permulaan Terengganu minit ke- 35.
Kesebelasan pemain Terengganu yang 'bergaya' di depan lebih 10,000 penonton mula mengasak mencari sasaran seawal minit permainan dengan beberapa membuat percubaan.
Pada minit ke-35, para pemain pelawat seolah-olah terkedu dengan jaringan pertama Terengganu menerusi Issifu yang membawa bola sendirian dari kawasan tengah padang sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gawang Pulau Pinang, Ahmad Sobri Ismail.
Permainan semakin hebat dengan kedua-dua penyerang saling mengasak dan Terengganu sekali lagi hampir menambah gol hasil tandukan Badrul Afzan yang menerima hantaran Anuar Jusoh.
Separuh masa kedua bermula menyaksikan skuad Harimau Kumbang bertindak lebih garang dan seawal minit pertama penonton tempatan dikejutkan dengan Nordin Khamis merembat kencang ke gawang tuan rumah tetapi tidak menepati sasaran.
Terengganu yang merasakan kurang selesa dengan kedudukan jaringan terus berhempas pulas mencari gol dan pada minit ke-51 Samuel Cheblee nyaris-nyaris menanduk masuk bola namun Ahmad Sobri ternyata lebih bernasib baik.
Bagaimanapun nasib malang Pulau Pinang yang mungkin terkena badi kekalahan dengan Kuala Lumpur 0-1 di tempat sendiri tempoh hari sekali lagi tersentak dengan jaringan kedua Terengganu menerusi Sapian Wahid di minit ke-61.
Pasukan pelawat yang masih enggan menyerah kalah membuat pertukaran pemain memasukkan G. Shanmugam dan Ng Kok Heng bagi menggantikan Riyadh Abbas dan Fauzi Soh.
Namun nasib tidak menyebelahi pasukan Harimau Kumbang itu sebaliknya semangat pemain tuan rumah terus marak untuk menambah jaringan sehinggalah perlawanan berkesudahan dengan Terengganu menang 2-0.
SEMENTARA di Stadium Hasanal Bolkiah, Brunei menumpaskan Sabah 2-1 untuk mencerahkan peluangnya ke separuh akhir.
Gol-gol Brunei dijaringkan oleh Patron Akapo pada minit ke-15 dan Irwan Mohd. seminit selepas separuh masa kedua dimulakan.
Pasukan pelawat merapatkan kedudukan menerusi bekas pemain kebangsaan, Suharmin Yusof pada minit ke-65.
Kemenangan tipis Brunei itu membuktikan peningkatan mendadak mereka, sebagaimana ketika mengekang Pahang 4-4 di gelanggang lawan minggu lalu, sekalipun ketinggalan jauh.
Namun begitu, Sabah masih lagi menerajui Kumpulan B, dengan kelebihan jaringan dan bilangan gol yang dilepaskan. Kedua-dua pasukan terikat tujuh mata
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1011&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4P60tpiKt © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan