ARKIB : 24/02/1999
PEMAIN Terengganu gigih
menjalani latihan di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah di Kuala Terengganu
semalam. - Gambar ABD RAHMAN SALEH.
PERLAWANAN persahabatan antara
Terengganu dan Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, Kuala
Terengganu malam ini, merupakan 'ujian' penting untuk mengenal pasti kelemahan
yang wujud dalam skuad Penyu, lapor AMIR SARIFUDIN.
Perlawanan itu juga adalah
persiapan terakhir Terengganu bagi melengkapkan diri mengharungi Liga Malaysia
musim ini.
Bagi Terengganu, beberapa
kekurangan akan dapat diatasi melalui perlawanan persahabatan itu termasuk
menentang Pahang.
Pengurus pasukan, Datuk Che Mat
Jusoh memberitahu Sukan Utusan, perlawanan persahabatan itu juga adalah
persediaan terakhir buat naib juara Piala Malaysia itu dalam menguatkan mental
pemain.
''Kita mahu setiap pemain
benar-benar bersedia sebelum Liga M bermula bulan depan.
''Perasaan dan mental pemain
terhadap perlawanan sebenar harus bermula sekarang,'' katanya.
Che Mat melihat perlawanan
persahabatan itu kelak bukan sahaja dapat mengenali setiap posisi pemain, malah
meningkatkan kecergasan mereka.
Di samping itu, dari perlawanan
itu juga pemain diminta mempraktikkan segala taktikal yang telah diterapkan
oleh jurulatih Yunus Alif.
''Walaupun ia perlawanan
persahabatan tetapi kita memilih Kelantan kerana ramai pemain pasukan itu
mempunyai kebolehan yang tinggi.
''Oleh itu kita mahu skuad
Penyu menampilkan segala latihan teknikal yang telah diajar ketika perlawanan
berlangsung,'' katanya.
Mengenai keupayaan pemain, Che
Mat berkata, pemain Terengganu kini berada dalam keadaan baik, namun masih
banyak yang boleh dilakukan untuk meningkatkan prestasi diri masing-masing.
Menurut Che Mat, Terengganu
hanya seri 1-1 pada perlawanan persahabatan pertama menentang pasukan Majlis
Bandaran Sungai Golok, Thailand Ahad lalu.
''Walaupun seri, tetapi kita
berpuas hati kerana terdapat beberapa pemain utama yang tidak dapat turun
disebabkan komitmen dengan pasukan kebangsaan.
''Perlawanan persahabatan
dengan skuad dari selatan Thailand itu sedikit sebanyak dapat mendedahkan
kelemahan-kelemahan yang ada dan ini akan kita perbaiki,'' katanya.
Che Mat melahirkan keyakinan
Terengganu berupaya memberi cabaran lebih hebat apabila menurunkan barisan
sebenar pada Perdana Satu nanti.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Pu1div98
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan