Khamis, 10 November 2016

Peluang terakhir 4 pasukan -- Terengganu lebih selesa

ARKIB : 28/11/1998
EMPAT pasukan akan membuat perhitungan akhir malam ini bagi menentukan dua negeri yang bakal layak ke perlawanan akhir pertandingan bola sepak Piala Malaysia pada 12 Disember ini.

Pertembungan antara Perak dan Negeri Sembilan serta Terengganu dan Sabah pasti amat menarik dengan keempat-empat pasukan memilih peluang yang sama untuk melangkah ke final.

Xby ads

Terengganu yang kali terakhir layak ke final pada 1982 mampu mengukir senyum menanti kedatangan Sabah berbekalkan kemenangan 2-0 di Likas Sabtu lalu.

Namun bukan tugas mudah buat anak buah jurulatih kebangsaan Abdul Rahman Ibrahim melayani kekecewaan Sabah mahu menebus balik kekalahan di gelanggang sendiri tempoh hari.

Buat Ken Shelito, kini mencatur strategi paling mantap mengharapkan penyerang kelahiran Gabon, Saphou Lassy tidak lagi tenggelam sebagaimana aksi di Likas.

Amukan pemain Sabah dijangkakan bakal menggegar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah namun Abdul Rahman bagaikan sudah terhidu keinginan besar lawan.

Buat Terengganu dengan prestasi di gelanggang sendiri kurang konsisten dalam kancah saingan awal Piala Malaysia, harus mengambil iktibar itu jika mahu impian layak ke akhir selepas 16 tahun bakal menjadi kenyataan.

Begitupun aksi di Stadium Perak turut menjadi perhatian utama. Keupayaan sama kuat dan sama handal ketika terikat seri 2-2 di Paroi minggu lepas menjadi penentu malam ini.

Masing-masing menyemat impian yang tinggal dalam lipatan sejarah untuk layak ke final yang sering kali didominasi oleh Selangor dan Singapura.

Perak kali terakhir muncul juara pada 1970 manakala Negeri Sembilan kali terakhir mengukir kejayaan manis pada 1948 (Piala HMS Malaya).

Perak dianggap mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri namun kekalahan 1-4 kepada Sabah dalam saingan awal Piala Malaysia perlu menjadi perkiraan utama.

Xby ads

Begitu pun pada masa yang sama anak buah M. Karathu tetap melaungkan keyakinan betapa kelebihan Perak di gelanggang sendiri mampu dinafikan malam ini.

Perak seharusnya lega dengan kehadiran tonggak pertahanan Roslan Hamid yang bebas daripada penggantungan manakala ayam tambatan Laszlo Repasi tampak sudah bersedia menjadi penggempur utama yang tidak beraksi di Paroi.

Sementara itu, jualan tiket pertandingan antara Terengganu dan Sabah, di Kuala Terengganu mendapat sambutan menggalakkan.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh berkata jualan tiket itu dibuat selama dua hari _ semalam dan hari ini.

''Jualan hari ini (semalam) amat laris, macam goreng pisang,'' katanya semalam.

Tiket-tiket berharga RM20 untuk tempat berbumbung, RM10 tempat terbuka dan RM5 kanak-kanak bawah 12 tahun.

Abdullah berkata jualan hari ini akan bermula pukul 9 pagi hingga perlawanan bermula.

Beliau berkata pihaknya juga menerima tempahan daripada peminat bola sepak daripada Kelantan dan Pahang.

Katanya, peminat-peminat tersebut berjanji akan memberi sokongan moral kepada pasukan Terengganu.

Beliau juga berkata PBSNT akan menyediakan peti televisyen di luar stadium bagi kemudahan orang ramai yang tidak dapat membeli tiket.

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah hanya boleh menampung 17,000 penonton.

SUMBER-ARKIB UM 1998

Tiada ulasan:

Catat Ulasan