ARKIB : 01/12/1998
BEKAS jurulatih bola sepak
Terengganu, Abdullah Mohamad meramalkan Terengganu akan muncul sebagai juara
Piala Malaysia tahun ini berdasarkan beberapa faktor.
Abdullah yang juga bekas pemain
negeri itu berkata ini kali ketiga Terengganu masuk pertandingan akhir. Kali
pertama tahun 1973 dan kedua 1982.
''Tahun ini tahun terbaik bagi
Terengganu menebus kekecewaan pada perlawanan akhir sebelum ini...,'' katanya
ketika mengulas pertandingan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Perak
di Stadium Nasional, Bukit Jalil 12 Disember ini.
Beliau berkata, pertandingan
akhir Piala Malaysia tahun ini berbeza daripada tahun 1973 dan 1982 kerana
ketika itu Terengganu bertemu Selangor.
''Kita terpaksa menghadapi
penyokong Selangor yang penuh sesak di Stadium Merdeka ketika itu.
Kali ini Terengganu akan
berhadapan dengan pasukan Perak dan suasananya berlainan dan berbeza,'' kata
Abdullah yang turut bermain dalam pasukan tahun 1973.
Beliau berkata Terengganu dan
Perak mempunyai keistimewaan tersendiri, tetapi yakin Terengganu mampu
mengatasi mereka.
Katanya, antara faktor penting
yang membolehkan Terengganu menjuarai Piala Malaysia musim ini ialah
keistimewaan pemain-peminnya yang mampu bermain di setiap posisi.
Beliau berkata walaupun corak
permainan Perak lebih terbuka dan pemain-pemainnya rajin berusaha, tetapi
mereka mungkin sukar menembusi pertahanan Terengganu yang kental yang diketuai
oleh Azman Ismail.
Penyerang-penyerang Terengganu
seperti Samuel Chebli dan Wan Ahmad Ridzuan pula mempunyai larian yang pantas
dan boleh mengelirukan pertahanan Perak.
Abdullah juga berkata
Terengganu mempunyai kombinasi pemain tengah yang mantap seperti Seidu Issifu,
Badrul Hisham Abdullah dan Anuar Jusoh.
Beliau bagaimanapun tidak
menafikan Perak juga mempunyai barisan tengah yang baik antaranya, Lim Seng
Kong.
Terengganu kalah 0-1 pada
pertandingan akhir tahun 1973 dan 1-2 tahun 1982, kedua-duanya di Stadium
Merdeka. - Bernama.
Umber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PbTHq1ft
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan