Rabu, 9 November 2016

Wira Penyu terus juang

ARKIB : 27/11/1998
KESEBELASAN Terengganu yang bakal turun menentang Sabah pada perlawanan separuh akhir kedua di Kuala Terengganu, esok diharap berjuang habis-habisan terutama memastikan tidak ketinggalan walau satu gol sekalipun sebaik bermula perlawanan.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Abdullah Salleh berkata, ini kerana gol pertama setiap pasukan akan menentukan keadaan sehingga berakhir pertarungan.

Sekiranya tuan rumah alpa dan menyebabkan ketinggalan walaupun satu gol, sedikit sebanyak akan melemahkan semangat juang yang berterusan di kalangan pemain.

Menurut beliau, walaupun Terengganu sudah mempunyai 'modal' selepas kejayaan menundukkan Sabah 2-0 di Likas tempoh hari, para pemain tidak semestinya turun ke gelanggang dengan ala kadar atau 'sekadar cukup apa yang ada'.

''Pemain Terengganu perlu memperkuatkan benteng pertahanan bagi mengelak gawang dibolosi lawan dalam usaha memburu peluang beraksi dalam perlawanan akhir nanti.

''Kita mahu biarlah harapan tinggi rakyat Terengganu khususnya peminat bola sepak tempatan untuk membawa pulang Piala Malaysia musim ini menjadi kenyataan,'' ujarnya di Kuala Terengganu semalam.

Umpamanya, sewaktu Terengganu bertemu Negeri Sembilan di Kuala Terengganu sebelumnya, tuan rumah terpaksa menerima hakikat setelah kecundang 0-2 kepada lawan.

''Pada perlawanan ini mulanya skuad Penyu bermain dengan baik dan hampir mencipta jaringan namun setelah ketinggalan 0-1 pemain mulai tertekan dan gelabah sehingga membolehkan pasukan lawan menambah jaringan.

''Kita seboleh-bolehnya tidak mahu peristiwa hitam ketika menentang Negeri Sembilan tempoh hari berulang dan perlu diingat sungguhpun Terengganu dianggap sudah meletakkan sebelah kaki ke akhir namun mereka perlu berhati-hati,'' katanya.

Dalam masa yang sama beliau turut berharap cuaca pada malam perlawanan kedua Terengganu-Sabah Sabtu ini adalah baik dan tidak hujan.

Katanya, seperti perlawanan Terengganu-Kedah sebelum ini apabila terpaksa ditunda ke hari berikutnya disebabkan hujan lebat.

Bagaimanapun Abdullah turut menaruh keyakinan masalah serupa tidak mungkin berulang memandangkan Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) telah memperbaiki sistem perparitan stadium.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PWQZdjKj © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan